Kerajaan patut berminda juara seperti AMG F1 Petronas

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

DEWAN Pemuda PAS Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada PETRONAS diatas kejayaan Pasukan Formula 1 Mercedes AMG PETRONAS atas kejayaan merangkul kejuaraan Pasukan Formula 1 dan kejuaraan pemandu Lewis Hamilton selepas kejayaan di GP Amerika Syarikat, 26 Oktober 2015 yang lalu.

Pemuda PAS juga mengucapkan tahniah kepada Lewis Hamilton, dengan kejayaan kali ke-3 menjuarai kategori pemandu pada tahun ini. Pemanduan berkelas dunia Hamilton dengan jentera F1 W06 Hybrid telah berjaya mengatasi jentera-jentera lain seperti Ferrari, Renault dan Honda dalam perebutan kejuaraan Formula 1 pada tahun 2015 ini.

Kejayaan ini membuktikan penglibatan syarikat minyak dan gas negara dalam teknologi permotoran kelas tertinggi ini, membuahkan hasil yang sangat positif kepada PETRONAS dan Malaysia amnya, dari sudut perkongsian kepakaran diantara PETRONAS dan Pasukan Formula 1 Mercedes AMG PETRONAS.

Biarpun tahun 2015 adalah tahun yang sukar buat industri minyak dan gas dunia, penglibatan berterusan PETRONAS dalam sukan permotoran ini adalah penting untuk terus relevan dalam perniagaan minyak pelincir (lubricants) yang diceburi sejak 1981.

Kejayaan ini diharapkan dapat meningkatkan penjualan minyak pelincir dan produk berasaskan fluid technology solution jenama PETRONAS melalui anak syarikatnya, Petronas Lubricants International. Pelaburan ini secara tidak langsung memberikan keuntungan kepada rakyat, melalui pendapatan yang diberikan semula kepada rakyat melalui royalti dan cukai yang dibayar oleh PETRONAS kepada kerajaan.

Diharapkan dengan kejayaan ini, pihak kerajaan juga dapat mentadbir dengan minda juara sebagaimana PETRONAS, agar tidak menjadi yang tercorot di dunia, contohnya, kedudukan mata wang yang jatuh paling teruk, indeks persepsi rasuah yang terbawah mahupun skandal kewangan terbesar yang masih tidak terjawab dan menjadi perhatian antarabangsa ketika ini.

Pemuda PAS juga mengharapkan perkongsian strategik ini dapat diteruskan kerana disamping membawa impak komersil kepada PETRONAS dari sudut penjenamaan dan Market Positioning, keupayaan teknologi minyak pelincir dan minyak perlumbaan untuk digunakan dalam sukan permotoran ini mampu memberikan keuntungan dari sudut kepakaran, penyelidikan dan pembangunan serta pemindahan teknologi (brain share) berkaitan minyak kepada tenaga-tenaga tempatan.

Semoga perlumbaan Formula 1 pada tahun hadapan terus dikuasai oleh Pasukan Mercedes AMG PETRONAS.

Congratulations again PETRONAS and Lewis! – HARAKAHDAILY 30/10/2015

Penulis ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan.

Share on Myspace