Jangan jadi kerajaan yang angkuh

NASRUDIN HASSAN | .

PENGURUSAN ekonomi amat penting bagi sesebuah negara untuk meletakkan rakyatnya dalam keadaan sejahtera, dan harmoni disamping memacu pembangunan dan kemajuan negara.

Tapi kita kena sedar! Kejayaan dan kecemerlangan dalam pengurusan ekonomi sangat bergantung kepada keupayaan pengurus dan pentadbirnya.

Tentunya nilai tertinggi pada graf keupayaan pengurus dan pentadbir itu ialah akhlaknya selain daripada kemahiran, kreativiti, inovasi, pengalaman dan sebagainya.

Seringkali masaalah ekonomi yang dihadapi oleh negara kita bukanlah berpunca dari penurunan kadar bahan mentah atau sumber pendapatan, justeru umum menyedari bahawa negara kita antara negara yang makmur dengan limpahan rezeki kurniaan Allah SWT dalam pelbagai kategori seperti pertanian, perlombongan dan sebagainya.

Masaalah yang dihadapi dalam pengurusan ekonomi negara ialah ketirisan, salah guna dana negara, pembaziran, rasuah dan penipuan. Inilah masaalah akhlak yang saya maksudkan. Akhirnya membentuk persepsi yang buruk kepada negara dan pemerintah.

Sebagai penyelamat ummah dan tamadunnya, Nabi kita Muhammad SAW telah diutuskan oleh Allah SWT dengan membawa nilai akhlak yang tinggi dan sempurna selepas aqidah tauhid. Akhlak ini  menjadi prinsip untuk melahirkan insan yang soleh, berintegriti dan seterusnya untuk membentuk sebuah masyarakat baik dan kerajaan yang adil serta telus (Good Governence).

Sabda Rasulullah SAW:

   انّما بُعثت لأُتمِّمَ مكارمَ الأخلاق

Sesungguhnya Aku dibangkitkan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan Akhlak.

Ekonomi tidak akan stabil malah berpotensi untuk berlaku inflasi jika ia diurus dan ditadbir oleh mereka yang tidak berakhlak, sedang negara mempunyai sumber ekonomi dan asas pendapatan yang baik. Tidak keterlaluan jika saya tegaskan bahawa negara juga boleh jatuh bankrap dan tergadai angkara pengurus dan pentadbir ekonomi yang tidak berakhlak.

Implikasi dari ketiadaan akhlak ini biasanya akan melahirkan pengurus dan pentadbir ekonomi yang rakus, tamak, haloba, alpa, sombong, bongkak dan angkuh sedang didepan mereka timbunan dana harta yang menjadi amanah rakyat untuk mereka urus tadbir.

Perhatikan bagaimana kisah sang penguasa yang angkuh dan bagaimana pula kesudahannya yang telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quranil Kareem.

إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ
فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ وَآتَيْنَاهُ مِنَ الْكُنُوزِ
مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ
إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لَا تَفْرَحْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفَرِحِينَ

“Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ
وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ
وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ
إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia;

“dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي
أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ
مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا
وَلَا يُسْأَلُ عَن ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ

“Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku".

(Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ?

Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

Sural Al Qasas : Ayat 76 - 78

Semoga negara kita terus makmur. Tidak dibinasakan oleh Allah SWT. Sementara pemimpin dan kita semua tidak menjadi angkuh tatkala berada dipuncak kuasa. Tunaikan tanggungjawab sebagaimana ia diperintah oleh Allah SWT. Berlaku adil dan pulangkan hak kepada mereka yang berhak memilikinya. – HARAKAHDAILY 30/10/2015

Share on Myspace