Belanjawan Selangor peduli rakyat

SAIDAH HAIRAN | .

SHAH ALAM: Belanjawan negeri Selangor 2016 bertema `Membangun Smart Selangor Yang Peduli’ menjadi belanjawan surplus (lebihan) kerana hasil negeri melonjak kepada RM2.05 bilion berbanding perbelanjaan sebenar RM1.50 bilion sehingga 30 September 2015.

Kedudukan belanjawan sehingga 30 September 2015 adalah surplus sebanyak RM552.58 juta.

Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali membentangkan belanjawan berimbang memperuntukkan RM1,440 bilion iaitu pembangunan terbesar yang pernah tercatat dalam Belanjawan Negeri Selangor  tahun 2016 dan tertinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Manakala peruntukkan sebanyak RM1.07 bilion atau 74 peratus  bagi pelaksanaan projek infrastruktur termasuk projek pembinaan baru serta menaiktaraf jalan dan sebagainya.

Memandangkan kegawatan ekonomi telah menekan kehidupan seharian peniaga kecil kerajaan Selangor amat peduli rakyat.

Dalam pembentangan itu, beliau mencadangkan supaya cukai taksiran bagi rumah kos rendah, rumah kampung dan fi lesen perniagaan penjaja kecil, pasar malam dan pasar tani dikecualikan bagi tahun 2016.

Langkah ini akan memberi implikasi kewangan kepada PBT sebanyak RM41.7 juta.

Katanya, pengecualian cukai ini akan memberikan manfaat kepada 220,247 pegangan rumah kos rendah dan kediaman kampung dengan jumlah pengecualian sebanyak RM34.5 juta.

"Manakala, seramai 67,804 pemegang lesen penjaja gerai dan pasar akan menikmati pengecualian ini yang bernilai RM7.2 juta," katanya.

Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan RM1.5 juta bagi tahun 2016 untuk pekerja dan bekas pekerja ladang bagi membantu mereka menyesuaikan kehidupan untuk mencorakkan masa depan.

Peruntukan sejumlah RM1 juta untuk meneruskan Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin di mana rumah akan dibina dan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak.

Kerajaan Negeri bercadang untuk membina tiga buah maahad tahfiz yang baru dengan kos pembangunan berjumlah RM18 juta.

Kerajaan Negeri juga akan membina dua buah Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) di Pandan dan Bagan Lalang dengan kos pembangunan RM52 juta mulai 2016.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan menaiktaraf kemudahan Maahad Tahfiz  Integrasi Sains ‘Darul Turoth’ di Bagan Terap dengan peruntukan berjumlah RM3 juta.  

Ini kerana kerajaan Negeri bukan sahaja mahu melahirkan para huffaz seperti kebiasaannya, namun integrasi antara bidang hafalan al-Quran dengan akademik yang memberi wajah baru kepada golongan agamawan dan umat Islam keseluruhannya pada masa hadapan.

Sejumlah RM208.07 juta atau 14 peratus diperuntukkan bagi pembangunan sosial dengan meneruskan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Peruntukan sebanyak RM170 juta juga disediakan untuk program pemberian air percuma bagi tahun 2016.

Meneruskan program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dengan berjumlah RM26 juta dan RM8 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program Hadiah Anak Masuk Universiti.

Program bantuan pendidikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM16 juta akan diteruskan.

Pembangunan ekonomi, sejumlah RM150.9 juta atau 11 peratus diperuntukkan termasuk pelaksanaan projek pembangunan Rumah Selangorku dengan dana RM100 juta bagi tempoh 5 tahun bermula 2016. – HARAKAHDAILY 30/10/2015

Share on Myspace