PAS Selangor pertahan kerusi, tidak timbul beri laluan DAP

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Selangor meneliti kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi DAP negeri, Tony Pua yang sama mirip dengan kenyataan Parti Amanah Selangor sebelum ini.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, kedua-duanya 'berminat' untuk bertanding di beberapa kerusi yang telah dimenangi oleh PAS dalam pilihan raya yang lalu.

"Kita menghormati demokrasi dan kita akan mengekalkan kerusi kita yang kita tandingi dalam pilihan raya yang lalu," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, kata beliau tidak timbul soal berundur atau memberi laluan kepada DAP.

"Biar rakyat yang tentukan parti mana pilihan mereka kelak," kata Adun Paya Jaras itu lagi.

Beliau juga mempersoalkan apa rasional DAP hendak bertanding di kerusi yang di dalamnya 70% pengundi Melayu.

"Ini bukti suara DAP adalah suara Parti Amanah yang mahukan kerusi PAS," ujar beliau.

Ini, kata beliau kerana kehadiran Pakatan Harapan di Selangor telah ditolak oleh Menteri Besar baru-baru ini.

Beliau menegaskan, pendirian PAS Selangor adalah tetap mempertahankan kerusi yang ada walau apapun keputusan yang bakal diterima kelak. - HARAKAHDAILY 30/10/2015

Share on Myspace