Alhamdulillah…tiada lagi rakyat miskin tegar

DR AZMAN IBRAHIM | .

Di Kampung Kepah, Telemong, Hulu Terengganu. Tuan rumah ini mesra dipanggil Pak Da Sudin atau nama penuhnya Shamsudin Husin menyambut mesra kunjungan kami dari Lajnah Kebajikan PAS Terengganu.

Berusia dalam lingkungan 70 tahun. Duduk di rumah pusaka yang uzur peninggalan arwah ibunya.

Tak ada bekalan air bersih kerana beliau sekeluarga tak mampu menyediakan wang berjumlah lebih kurang RM2,000 untuk mendapatkan bekalan air dari Syarikat Air Terenganu (Satu).

Bekalan air diambil dari telaga yang akan kering di musim kemarau. Telaga lama yang telah ditumbuhi semak samun di sekelilingnya. Airnya disedut keluar menggunakan pam yang agak uzur.

“Kalu musim kemarau, nak mandi pun payah,” kata Pak Da Sudin.

Anaknya seramai 5 orang semuanya belum berkahwin serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Bantuan bulanan dari  Jabatan Kebajikan Masyarakat diterima sebanyak RM200 sebulan. Itu saja bantuan yang diterima dan tidak ada sebarang bantuan zakat dari Majlia Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam). Sedangkan kita mendapat makluman, setiap tahun MAIDAM sentiasa mempunyai lebihan wang zakat dengan jumlah jutaan ringgit.

Rumah Pak Da Sudin pun bukannya jauh sangat dari jalan besar. Pelik juga kalau pegawai asnaf zakat tak dapat detect lokasinya.

Sepatah ungkapan Pak Da Sudin yang berasal dari Kelantan serta mula menetap di Kampung Kepah pada tahun 1968, “Ambo makan pun harap hok orang bagi…” Maknanya makan dengan mengharapkan ihsan orang lain.

Beliau sangat berharap untuk mendapat sebuah rumah baru yang lebih selesa bagi menghabiskan saki baki hayatnya.

Sememangnya beliau sangat layak untuk mendapatkan bantuan sebuah rumah sama ada dari Maidam atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Saya berjanji akan memanjangkan perkara ini kepada pihak berwajib.

Oleh kerana PM ada menyebut semasa pembentangan Bajet 2016 bahawa angka miskin tegar ialah 0%, maka saya tak tahu nak kategorikan Pak Da Sudin dalam kategori mana.

Kategori rakyat miskin tegar disahkan oleh PM telah lenyap dari muka bumi Malaysia. Tak kan seorang PM mengemukakan fakta yang silap. Saya percaya dengan kesohehan data PM!

Sekadar makluman, Dun Telemong diwakili oleh Exco kerajaan negeri, Datuk Rozi Mamat.

Dun Telemong antara Dun dalam Terengganu yang sentiasa dimenangi oleh BN dengan majoriti besar.

Ketika BN hampir ranap di Terengganu dalam Pilihan raya Umum 1999, Dun Telemong tetap kekal di bawah BN. - HARAKAHDAILY 31/10/2015

Penulis ialah Ketua Lajnah Kebajikan PAS Terengganu.

Share on Myspace