Banjir: Jabatan Amal bersiap sedia

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Malaysia mengarahkan semua anggota bersiap-sedia menghadapi banjir pada musim tengkujuh hujung tahun ini.

Demikian arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Amal Malaysia Lt. Jeneral (A) Mohd Nazree Bin Mohd Aris dalam suatu kenyataannya.

“Bahagian Operasi Jabatan Amal Malaysia yang memantau perkembangan cuaca di semua negeri Semenanjung Malaysia telah menasihatkan untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir dibeberapa negeri pada bila-bila masa.

“Jabatan Amal Malaysia dengan ini mengarahkan semua anggota dan pegawai untuk diletakkan dalam keadaan siap sedia, berkuatkuasa serta merta, untuk bertugas dalam tempoh kurang dari enam (6) jam sebaik menerima arahan. Semua aset dan peralatan juga hendaklah dipastikan siap untuk beroperasi,” tegas beliau.

Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia yang juga dikenali kini sebagai Khidmat Malaysia akan menguruskan keseluruhan operasi banjir dan seluruh Jabatan Amal Malaysia diletakkan dibawah Khidmat Malaysia.

Semua penyelarasan akan dibuat oleh Khidmat Malaysia dan seluruh anggota dan pegawai Jabatan Amal Malaysia haruslah patuh kepada arahan  yang dikeluarkan oleh Khidmat Malaysia. Arahan akan dikeluarkan dari masa ke semasa berkenaan perkara ini.

Sebelum ini Jabatan Meteorologi menjangkakan musim tengkujuh dijangka berlaku pada awal minggu pertama November ini dan dijangka berakhir pada Mac 2016. Antara kawasan yang dijangka dilanda banjir ialah Pantai Timur Semenanjung dan Barat Sarawak. – HARAKAHDAILY 31/10/2015

Share on Myspace