Belanjawan sentuh semua aspek, golongan masyarakat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad menyifatkan Belanjawan Selangor 2016 sebagai belanjawan syumul.

Katanya, belanjawan bertemakan ‘Membangun Smart Selangor Yang Peduli’ dibentangkan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali itu menyentuh semua aspek dan golongan masyarakat di negeri termaju itu.

“Ini adalah belanjawan syumul, lengkap tanpa ada aspek tertinggal dalam memastikan seluruh rakyat menerima manfaat daripada belanjawan ini,” katanya dipetik Selangor Kini.

Iskandar berkata demikian selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2016 di Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

Menyentuh peruntukan di bawah portfolio beliau, Iskandar berkata kerajaan negeri turut prihatin terhadap masalah dihadapi golongan tidak layak membuat pinjaman bank tetapi berhasrat memiliki rumah sendiri.

“Kerajaan negeri sedia bantu bayar wang pendahuluan 10 peratus kepada mereka yang gagal mendapat pinjaman bank. Apabila langsai membayar balik kepada kerajaan negeri, memungkinkan mereka untuk membeli rumah itu,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Pesuruhjaya PAS negeri itu menambah, golongan sama turut dibantu menerusi skim Dana-Sel dengan peruntukan RM10 juta menerusi konsep sewa beli.

“Sekiranya penyewa terbabit masih gagal dapatkan pinjaman bank, mereka masih boleh terus tinggal dan memiliki rumah itu apabila bayaran sewa bulanan dibuat dapat menampung harga rumah terbabit,” katanya lagi.

Share on Myspace