Juara Piala AFC: Pemuda PAS ucap tahniah kepada JDT

HARAKAHDAILY | .

(Foto daripada facebook JDT Fan Club)

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejayaan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul Piala AFC buat kali pertama dalam sejarah bola sepak Malaysia selepas menewaskan FC Istiklol 1-0 di Dushanbe, Tajikistan malam tadi.

"Kejayaan ini harus menjadi titik kebangkitan bola sepak Malaysia untuk menjadi salah satu pasukan yang digeruni di Asia," ujar Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khirudin.

Menurutnya, tidak mustahil dengan kejayaan ini, Malaysia mampu mencipta lebih banyak kejayaan pada peringkat Asia mahupun dunia.

Katanya, komitmen yang ditunjukkan oleh Penaung Diraja Bolasepak Negeri Johor, Tengku Mahkota Johor diharapkan dapat diteruskan dalam bolasepak Malaysia dan FAM, dengan pembangunan akar umbi yang tersusun dan komitmen berterusan diharapkan dapat melahirkan pasukan kebangsaan yang menyinar di peringkat antarabangsa.

Gol tunggal pada perlawanan akhir di Stadium Republican Central itu dijaringkan oleh pemain dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22.

JDT membawa pulang trofi Piala AFC yang disampaikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, selain wang tunai US$350,000 (RM1.502 juta), manakala Istiklol FC menerima US$250,000 (RM1.072 juta) selaku naib juara. - HARAKAHDAILY 1/11/2015

Share on Myspace