Menyusuri warisan tarik pelancong ke Kelantan 2016

ASLANI M | .

 

KOTA BHARU: Kelantan mempertaruhkan seni warisan sebagai aset utama bagi menarik 6 juta pelancong mengunjungi negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2016.

Tema Menyusuri Warisan (Walking Heritage) menjadi moto sambutan tersebut bagi memperlihatkan kelainan Kelantan berbanding negeri-negeri lain.

Dan malam tadi berlangsung pelancaran TMK 2016 yang mencatat sejarah  tersendiri biar pun musim tengkujuh sudah bermula di negeri ini.

Sejak lebih seminggu setiap malam hujan mencurah-curah, namun malam tadi biar pun langit gelap tanpa kelihatan bintang, bagaimanapun tidak hujan menitis sejak selepas Maghrib sehingga selesai program jam 11 malam.

Perasmian bersejarah itu disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan. Hadir sama Tengku Laksamana, Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakub.

Selain itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, Konsul Diraja Thailannd, Konsul Besar Indonesia, pegawai kanan kerajaan negeri dan pusat.

Menteri Besar berkata Kelantan kaya dengan seni warisan terutamanya bercirikan Islam yang mampu menjadi tarikan pelancong.

Katanya kelebihan institusi pondok pengajian agama dan sekolah tahfiz yang banyak  terdapat di negeri ini boleh menjadi tarikan pelancong sesuai dengan dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam.

“Islam  menggalakkan melancong bagi aktiviti riadah untuk merapatkan hubungan silaturahim, hubungan diplomatik dan lebih penting lagi bertebaran menuntut ilmu agama.

“Melalui melancong kita dapat melihat kebesaran ciptaan Allah Taala dan bagi mencari keredhaan-Nya,” katanya pada program berkenaan.

Katanya juga sektor pelancongan menjadi penyumbang utama bagi menjana pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Menurutnya juga sasaran 5 juta pelancong  sehingga akhir tahun ini bakal menjadi kenyataan memandangkan sehingga September lepas 3.9 juta pelancong bertandang ke Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata pelbagai  program  menarik diadakan setiap tahun sebagai tarikan pelancong termasuk Pesta Wau Antarabangsa, Gendang Antarabangsa dan cabaran mendaki Gunung Stong di Jelawang.

“Pada tahun ini sebanyak 25 negara menyertai Pesta Wau Antarabangsa yang diadakan di Pantai Geting, Tumpat,” katanya.

Oleh itu kata beliau pelbagai usaha sedang giat dijalankan bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Kelantan tahun hadapan.

Perasmian TMK 2016 diserikan dengan persembahan kebudayaan Kelantan termasuk dikir barat, wayang kulit, rebat dan paluan rebana. Turut diundang pelawak Sabri Yunus dan penyanyi rap D Ravi (Awang Kelantan).

Palung gong gergasi sebanyak tiga kali oleh Tengku Mahkota sebagai gimik perasmian yang disaksi ribuan penduduk tempatan yang hadir. - HARAKAHDAILY 1/11/2015

Share on Myspace