Alimat DUPP lawat Muslimah Rohingya di Acheh

HARAKAHDAILY | .

ACHEH: Lajnah 'Alimat Dewan Ulamak Pas Malaysia telah mengadakan lawatan ke Acheh bagi melawat  kem pelarian muslimah dan kanak-kanak di Kuala Langsa serta mengadakan pertemuan dengan pimpinan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Persatuan Persaudaraan Muslimah (SALIMA) Langsa, Acheh.

Lawatan ke kem pelarian tersebut bertujuan menyerahkan sedikit bantuan kewangan dan keperluan bagi meringankan beban yang dideritai oleh mereka. Di samping itu 'alimat juga memberi ucapan dan motivasi kepada golongan muslimah di sini berbantukan seorang penterjemah di kalangan mereka yang fasih berbahasa melayu iaitu saudari Samirah berusia 15 tahun. Kem pelarian ini hanya dihuni oleh 71 orang wanita dan 33 orang kanak-kanak.

Agenda pertemuan dengan pimpinan PKS dan SALIMA di Bilik Seminar Restoran Minangkabau juga dimanfaatkan oleh rombongan 'alimat untuk menjalinkan ukhuwwah dan bertukar-tukar fikiran untuk kepentingan dakwah Islamiyah. Pimpinan PKS yang terlibat dengan pertemuan ini ialah Ketua Dewan Pengurus Daerah (Wakil Rakyat) Langsa Pak Normal Bahruddin, Setiausaha beliau Pak Reza, Ketua Muslimat PKS Langsa Ibu Nazri Hayati Okashah Budin, Pengerusi SALIMA ibu Asnita Muhd Nawi serta beberapa jawatankuasa yang lain turut serta dalam pertemuan ini.

Dalam ucapan Pak Normal beliau begitu teruja dengan lawatan ini untuk turut sama membantu saudara Islam yang ditimpa kesusahan. Harapan beliau agar PKS juga dapat berkunjung ke Malaysia dan mengadakan pertemuan seperti ini pada masa akan datang.

"Saya amat teruja dengan kunjungan muslimah untuk muslimah kerana ia jarang berlaku, namun kami sangat berbahagia dapat bertukar-tukar fikiran dengan muslimat PAS Malaysia," ujar Ibu Nazri pula.

"Hati kami tersentuh apabila melihat wajah ibu-ibu muda yang tiada suami, anak-anak yang tiada ibu dan bapa. Mereka berebut-rebut menerima sumbangan barang-barang keperluan yang kami agihkan. Kita seharusnya bersyukur kerana mempunyai kehidupan serba cukup. Muslimah di Malaysia juga perlu membuka mata terhadap perancangan serta tindakan musuh yang ingin menghapuskan Islam dengan menindas, membunuh serta menjadikan umat Islam sebagai ‘Pak Turut’ terhadap kemahuan mereka," ulas ustszah Ana Mastura Ismail ketua Lajnah 'Alimat Dewan Ulamak, selaku ketua rombongan bagi lawatan ini.

'Alimat DUPP juga mengucapkan terima kasih kepada ahli PAS di seluruh Malaysia yang turut menyumbang dana kewangan bagi menjayakan penganjuran program kebajikan sosial antarabangsa kali ini. – HARAKAHDAILY 1/11/2015

Share on Myspace