Polis terus laksanakan operasi had laju di LPT2

BERNAMA | .

KEMAMAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan operasi had laju di sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut lebuh raya tersebut.
    
Pegawai Penguatkuasa dan Operasi Trafik Bukit Aman DSP Mustaffa Bakri Salleh berkata menerusi operasi had laju yang dilakukan di LPT 2 itu pihaknya mendapati masih ramai pengguna yang gagal mematuhi had laju yang ditetapkan.
    
Katanya sepanjang operasi tersebut sebanyak 203 saman telah dikeluarkan kepada pemandu yang memandu melebihi 110 Kilometer sejam manakala 38 lagi membabitkan lain-lain kesalahan trafik.
    
"Dalam operasi yang bermula pukul 9 pagi dan berakhir pukul 6.30 petang menfokuskan kepada pemandu yang melebihi had laju yang ditetapkan di LPT berkenaan.
    
"Sebanyak 241 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan kepada pemandu atas pelbagai kesalahan ketika menggunakan laluan tersebut," katanya kepada Bernama hari ini.
    
Beliau turut menasihati semua pemandu agar tidak memandu laju serta berwaspada memandu terutamanya ketika hujan dan berehat di hentian rawat dan rehat sekiranya mengantuk dan penat.
    
"Biarpun memandu laju antara punca kemalangan yang berlaku di LPT, masih ramai yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, jadi kita akan terus menguatkuasakan tindakan di laluan tersebut," katanya.
    
Berdasarkan statistik semasa sebanyak 1,991 kes kemalangan telah direkodkan dan meragut 85 nyawa sejak lebuh raya itu beroperasi pada Januari 2011. - Bernama

Share on Myspace