Kejayaan JDT suntik semangat bola sepak negara

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di atas kejayaan menjuarai Piala AFC 2015.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemain, pengurusan dan peminat Johor Darul Takzim (JDT) di atas kejayaan menjuarai Piala AFC 2015," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau mengucapkan tahniah kerana berjaya mengibarkan bendera Malaysia di arena bola sepak antarabangsa.

"Semoga kejayaan ini menjadi penyuntik semangat kepada kebangkitan sukan bola sepak di  Malaysia dan seterusnya mengembalikan kegemilangan bola sepak negara di persada antarabangsa sebagaimana yang pernah  dikecapi sebelum ini, insya Allah," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Pasukan JDT berjaya menjuarai Piala AFC buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara selepas menewaskan FC Istiklol 1-0 di Dushanbe, Tajikistan malam tadi.

Gol tunggal pada perlawanan akhir di Stadium Republican Central itu dijaringkan oleh pemain dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22.

JDT membawa pulang trofi Piala AFC yang disampaikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, selain wang tunai US$350,000 (RM1.502 juta), manakala Istiklol FC menerima US$250,000 (RM1.072 juta) selaku naib juara. - HARAKAHDAILY 1/11/2015

Share on Myspace