Belanjawan 2016: Benar, Selangor negeri berkebajikan

SYARHAN HUMAIZI HALIM | .

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengucapkan tahniah dan syabas atas pembentangan belanjawan Negeri Selangor yang sangat pedulikan nasib rakyat oleh Dato Menteri Besar Tuan Mohamad Azmin Ali baru-baru ini. Bajet yang dibuat ternyata hasil daripada kecemerlangan pentadbiran Pakatan Rakyat di Negeri Selangor yang berjaya meningkatkan jumlah terbesar dalam sejarah Selangor dan ia satu kejayaan yang tidak berlaku dizaman pemerintahan Barisan Nasional.

Dengan memperuntukkan belanjawan berimbang sebanyak RM2.88 bilion bagi tahun 2016 mendukung tema "Membangun Smart Selangor Yang Peduli" menjurus ke arah titik Kebajikan Rakyat, sikit sebanyak melihat falsafah pentadbiran ini selari dengan gagasan yang pernah di bawa oleh Tuan Guru Presiden PAS Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang iaitu Negara Berkebajikan. Jika dilihat ia di definasikan sebagai sebuah negara yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara dalam masa yang sama mementingkan pembangunan, tetapi matlamat nya ialah kesejahteraan rakyat kebanyakan.

Melalui pembentangan belanjawan ini, DPPNS amat menyokong sikap peduli dan mendahului kebajikan rakyat dalam usaha untuk mengecualikan cukai taksiran rumah kos rendah dan rumah kampung serta mengecualikan fi lesen bagi peniaga kecil, peniaga pasar malam dan pasar tani. Perlaksanaan ini sesuai dengan kemampuan kewangan yang dijana oleh Kerajaan Negeri Selangor, kita yakin ia memberi pemangkin untuk rakyat berpendapatan rendah agar lebih terbela pada saat kegawatan ekonomi akibat ketidakcekapan Kerajaan Barisan Nasional mentadbir di peringkat Pusat.

DPPNS yakin sebahgian besar yang menikmati pengecualian cukai dan fi ini terdiri daripada anak-anak muda yang baru menjalankan perniagaan kecil-kecilan akibat kurangnya peluang mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta. Ini adalah isyarat yang jelas bahawa  masih ada lagi pihak yang peduli kepada nasib mereka kerana rata-rata anak muda ini baru memulakan kehidupan berkeluarga.

Begitu juga dengan belanjawan yang berkaitan dengan pendidikan iaitu Maahad Tahfiz, Maahad Tahfiz Intergrasi Sains dan Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin yang sudah pastinya kelebihan peduli ini bakal diraih oleh anak-anak muda Selangor.

Keseluruhan pembentangan Belanjawan Negeri Selangor ini jelas wujudnya perbezaan yang amat ketara ibarat antara langit dengan bumi apa yang ada di peringkat kerajaan persekutuan. Kerajaan Malaysia yang mudah dan senang dikenali sebagai "Darul Jibayah" iaitu negara pemungut atau  pemeras cukai yang meletakkan beban yang besar terhadap rakyat bagi menampung sebahagian kos perjalanan kerajaan. Sedangkan kerajaan Selangor mengambil inisiatif bagaimana usaha untuk mengelak rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup terutamanya dikalangan anak muda.

DPPNS yakin jika perkara ini terlaksana ia bakal melonjakkan lagi prestasi kehidupan yang lebih baik di Selangor selaras dengan agenda untuk menjadikan Selangor sebagai negeri berkebajikan. Secara tidak langsungnya pihak kerajaan negeri serius  menghargai anak muda sebagai teras kelangsungan kehidupan dan kepimpinan masa depan.

Akhir kata penutup bicara, istiqamah lah untuk berbakti pada rakyat. Usah melayan gangguan nyamuk seekor dua sehingga kelambu indah di bakar hangus. Mudahan Allah memberi hidayah kepada semua. – HARAKAHDAILY 2/11/2015

Penulis ialah Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Selangor

Share on Myspace