Belanjawan 2016: Tepati hasrat `Selangor Smart State'

SAIDAH HAIRAN | .

SHAH ALAM: PAS Selangor yakin pembentukan Majlis Perundingan Smart Selangor sangat bertepatan dengan hasrat untuk menjadikan 'Selangor Smart State' maju dan sejahtera.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berharap 'blueprint' tersebut akan mengambil kira keperluan pembangunan fizikal dan kemanusiaan mengikut tuntutan maqasid syariah.

Mengulas Belanjawan Selangor 2016 katanya, ia bertepatan dengan tema 'Membangun Smart Selangor Yang Peduli' dan merupakan satu lagi pendekatan pentadbiran negeri yang maju serta lebih sejahtera.

Katanya, pendekatan Datuk Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali telah membuahkan hasil yang baik dalam urustadbir negeri dengan sokongan pimpinan kerajaan negeri.

"Laporan perbelanjaan dan pendapatan yang berakhir September telah membuahkan kejayaan yang diharapkan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.  

Menurut beliau, pendekatan belanjawan membangunkan Smart Selangor dengan mengambil kira beberapa kategori tumpuan pada beberapa potforlio mengikut keutamaan selaras dengan tuntutan maqasid alsyariah.

"Rakyat mengharapkan kerajaan tidak meninggalkan tumpuan pembangunan yang didasari sebelum ini," tegasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri.

Beliau bersyukur dalam belanjawan itu Menteri Besar menumpukan soal pembangunan pendidikan agama sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat seluruh Selangor.

Katanya, peruntukan sebanyak RM18 juta untuk membina tiga buah maahad tahfiz sudah tentu akan memberi peluang lebih ramai permintaan pendidikan dalam jurusan itu.

Begitu juga tambah beliau peruntukan sebanyak RM52 juta untuk pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi di Pandan dan Bagan Lalang.

Menurut beliau pembinaan tersebut selaras dengan perancangan Selangor untuk mewujudkan satu maahad setiap daerah menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam menyediakan wadah berteraskan pendidikan Islam sebagai keutamaan.

Beliau menegaskan kenaikan elaun 6,900 orang guru Kafa dari RM1,300 kepada RM1,500 begitu juga elaun ketua guru dari RM100 ke RM150, penolong kanan akademik dan hal ehwal murid mendapat RM80. Sebelum ini penolong kanan akademik tidak mendapat elaun. Diharap elaun ini akan menaikkan semangat dan mutu pendidikan di negeri Selangor.. - HARAKAHDAILY 2/11/2015

Share on Myspace