Selangor kekal sebagai kerajaan rakyat

SHUHAIMI SHAFIEI | .

KERAJAAN Selangor perlu kekal dengan pendirian kerjasama politik secara holistik terhadap semua pihak yang mahu melihat sebuah pakatan politik yang stabil dan ampuh bagi berdepan dengan Umno/BN dalam PRU14.

Keadilan Selangor menolak pandangan sempit sesetengah pihak yang menyatakan bahawa sikap YAB Datuk Menteri Besar yang masih mengekalkan Adun PAS sebagai Exco adalah suatu bentuk langkah peribadi.

Pendirian Menteri Besar, Azmin Ali adalah berdasarkan resolusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan pada 11 Oktober 2015 yang telah memutuskan untuk memanjangkan hubungan kerjasama dengan semua parti politik. Pastinya, ia melibatkan Adun PAS dalam membentuk 'kerjasama pentadbiran' di Negeri Selangor dengan sokongan semua Adun.

Tindakan MB Selangor mengekalkan Exco Kerajaan Selangor dari PAS adalah selaras dengan hasrat dan ketetapan MPP keadilan yang jelas mahu meneruskan usaha-usaha membina barisan pembangkang yang kukuh dan bersatu di peringkat pusat dan apatah lagi di Selangor sebagai sebuah Kerajaan. Jelas ia adalah keputusan parti dan bukan bersifat peribadi.

Kenyataan tertentu yang dibuat seolah-olah mendesak untuk Menteri Besar menggugurkan Exco daripada PAS adalah suatu saranan yang bertentangan dengan resolusi mesyuarat MPP. Maka perlu suatu tindakan disiplin serta penyiasatan diambil terhadap mana-mana pimpinan Keadilan yang jelas menolak pendirian semasa Keadilan pada masa ini yang telah diputuskan oleh MPP Keadilan. Harus diingatkan semula, MPP adalah badan pemutus tertinggi dalam Keadilan.

Anggota serta pimpinan parti seharusnya memahami situasi ini dan tidak memberikan suatu sisi pandangan yang tersasar daripada maksud resolusi yang telah diputuskan oleh MPP Keadilan.

Keadilan Selangor menyokong penuh Kerajaan Negeri yang komited untuk memantapkan pentadbiran bersama rakan-rakan Pakatan Harapan dengan memperbesarkan ruang kerjasama pentadbiran termasuk terhadap Adun PAS di Selangor.

Langkah yang diambil oleh Menteri Besar Selangor ini perlu di sokong kerana ia di yakini bagi menyediakan suasana kondusif demi perpaduan pergabungan politik yang lebih luas.

Oleh hal yang demikian, Keadilan Selangor menyeru semua pihak untuk bersama-sama membantu Menteri Besar Selangor dalam menjayakan Belanjawan Selangor 2016 yang telah dibentangkan dengan tema "Membangun Smart Selangor Yang Peduli" demi kepentingan rakyat.

Walau apapun nama gabungan yang kita ingin sebutkan, yang paling penting marilah kita terlebih dahulu membuktikan; dalam semangat Pakatan Rakyat terdahulu, iltizam muafakat Pakatan Harapan terkini, kitalah kerajaan gabungan masa depan rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 2/11/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan KEADILAN Selangor.

Share on Myspace