Bukankah DAP sudah lama bekerjasama dengan BN?

SMN | .

TERIMA kasih kepada petugas Buletinonline yang menerbitkan segera video sidang media Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas program ‘Dailog Rakyat’ pada Sabtu lalu.

Dengan penerbitan segera melalui laman buletinonline channel di you tube, dapat memberitahu kebenaran kepada rakyat Malaysia, kecuali mereka yang ‘sudah hitam’ hatinya.

Dengan jelas Ustaz Hadi menjawab soalan wartawan dan menafikan PAS tidak akan bersama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Bahkan berkali-kali perkataan ‘tidak…..tidak…..tidak’ yang keluar daripada mulut Naib Pengerusi Kesatuan Ulamak Sedunia itu, namun berkali-kali juga tohmah dan fitnah yang dipaparkan, sama ada secara ‘spin’ oleh media atau secara ‘totok’ oleh mereka yang sudah memang menjadi musuh PAS.

Mari kita lihat dan dengar sekali lagi dan berkali-kali video tersebut seperti di bawah;

Video

Adakah tidak jelas lagi apa yang beliau nyatakan?

Kalau belum jelas, saya akan tuliskan di sini supaya dapat dibaca dengan jelas.

DSAH: Ulasan saya... perjuangan kita adalah perjuangan untuk mengubah keadaan. Bukan berebut jadi pemimpin. Dengan sebab itu kita... menerima sebarang perubahan yang positif.

Dan kita lebih selesa duduk di luar Barisan Nasional, bukan duduk (dalam) Barisan Nasional... tapi kalau dia tak (ber)ubah, (menjadi) tanggungjawab kitalah kena ubah kerajaan.

Wartawan: Jadi maksud Datuk Seri, memberi nasihat dan membantu itu maksudnya... tak masuk... bukan bergabung dengan Umno?

DSAH: Tidak, tidak, tidak, tidak (bersama Umno dan Barisan Nasional), maksudnya kita bersedia untuk hantar pasukan kita untuk berbincang dengan pihak kerajaan tentang GST sebagai contoh, tentang perumahan dan tentang kejatuhan nilai ringgit.

Apa pendekatan kita nak hadapi. Sebab kita ada (cara) penyelesaian kita... ada pandangan kita.

Wartawan: Jadi bukan kerjasama dari segi politik?

DSAH: Tidak, bukan, bukan (kerjasama politik) kerjasama politik dengan kita tak masuk kerajaan...

Jadi apa masalahnya, yang sampai buat Lim Guan yang ‘kononnya bijak dan cerdik’ membuat kenyataan bodoh, bahawa keputusan PAS untuk tidak menyokong Pakatan Harapan menolak Bajet 2016 membuktikan parti Islam itu bekerjsama dengan Barisan Nasional (BN).

Sedangkan, tidak lama dulu dan kita tidak nyanyuk lagi untuk lupa, pada 7 Februari, 2015 media rasmi DAP sendiri menyiarkan berita yang bertajuk “DAP sedia kerjasama dengan semua pihak, termasuk BN, demi perpaduan nasional,”

Biar saya salin dan tempek di sini, seperti dibawah, supaya kita semua jelas dan tidak diresapi oleh sikap gelojoh dan hasutan mana-mana pihak;

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Usaha ke arah perpaduan nasional sudah lama dibawakan oleh DAP tetapi sering mendapat halangan akibat amalan politik perkauman dan keagamaan yang sempit.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata DAP yang berteraskan kepada prinsip kepelbagai kaum dan agama telah berkali-kali meminta kepimpinan negara, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk duduk bersama bagi membincangkan isu-isu bersama.

Katanya, sudah beberapa kali DAP mengajak pentadbiran Najib untuk bersama-sama tanpa mengira parti politik duduk semeja membincangkan isu-isu besar seperti perpaduan kaum dan banjir di Pantai Timur Semenanjung.

Sehubungan dengan itu, apabila aktivis hak asasi dan kedaulatan undang-undang, Datuk Ambiga Sreenivasan mencadangkan ‘Projek Rakyat’ sebagai langkah ke arah perpaduan nasional, Kit Siang dengan tangan terbuka menyokong usaha tersebut.

Ketika ditanya wartawan apakah DAP akan mulakan langkah mendekati Najib, pemimpin veteran DAP itu menjelaskan usaha membawa kebaikan kepada rakyat tanpa berpihak kepada mana-mana parti telah lama menjadi agenda DAP.

“Kita sambut baik seruan Ambiga tentang cadangan ‘Projek Rakyat’ yang mahu perpaduan nasional (atas isu-isu bersama) di antara kerajaan dan pembangkang.

“Namun, Kerajaan Najib mesti respon seruan kita dahulu. Barulah kita mulakan langkah seterusnya. Jika Najib tidak mahu respon, kita tidak boleh gerakkan usaha ini,” ujar beliau.

Dalam forum bertajuk ‘Tunku dan Pak Samad; Mengenang Negarawan, Meraikan Sasterawan’ anjuran Roketkini.com di sini hari ini, Ambiga sebagai salah seorang panelis telah menyeru seluruh pimpinan negara, baik kerajaan mahupun pembangkang, untuk memulakan langkah perpaduan nasional.

“Ada empat isu utama harus jadi perhatian kerajaan dan pembangkang dalam ‘Projek Rakyat’ ia adalah isu bencana banjir, ekonomi, isu perkauman dan agama, dan demam denggi.

“Jika kita boleh ambil empat perkara ini sebagai langkah pertama perpaduan nasional, itu sudah menjadi satu kejayaan,” katanya. – Roketkini.com

Bukankah DAP pun sudah bekerjasama dengan Barisan Nasional?

Bukankah kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai DAP bekerjasama dengan kerajaan Pusat yang dikuasai oleh Barisan Nasional?

Bukankah Ahli Parlimen DAP bagi kawasan Petaling Jaya Utara yang juga Setiausaha Publisiti Dap Tony Pua memberikan kerjasama dan duduk dalam Jawatankuasa Kira-kira Awan Negara (Public Accounts Committee – PAC) bagi kerajaan yang dikuasai oleh Umno dan Barisan Nasional?

Cukuplah itu bukti, DAP menjalinkan kerjasama, dan mengapa dipersoalkan apabila PAS menyatakan pendiriannya?

Kepada pemain media perdana, berhati-hatilah. Ramai kawan-kawan wartawan yang saya kenali dan mereka menulis dengan betul dan baik. Tetapi para ‘editor’ di Kuala Lumpur mestilah beringat, supaya berita yang dikeluarkan, tidak menjadi fitnah.

Atas apa jua tujuan pemberitaan dan kewartawanan itu, ia adalah kerja yang mulia, kerja memberitahu tentang kebenaran dan memperbetulkan keadaan, sebagaimana yang disebutkan dengan jelas oleh Presiden PAS.

Dan kepada media yang sudah tidak mengira tentang ‘dosa dan pahala’, buatlah apa yang kamu suka, pesonglah pemikiran rakyat, tulislah untuk memuaskan nafsu masing-masing!

Kalau sudah tidak percaya dengan Allah dan hari akhirat, hiduplah diatas dunia ini, dan lihatlah kerosakan yang akan berlaku! - www.buletinonline.net

Share on Myspace