8 ditahan disyaki terlibat kumpulan pengganas

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Polis menahan lapan warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas dalam satu operasi yang dijalankan serentak di Selangor, Perak dan Johor pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dalam operasi yang dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas itu, polis menahan enam suspek disyaki terlibat menganggotai kumpulan Tandzim Al Qaeda Malaysia manakala dua lagi mempunyai kaitan dengan pengganas Negara Islam (IS).

Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 36 tahun, katanya dalam satu kenyataan Isnin.

Beliau berkata, dua suspek masing-masing bekas penjawat awam dan bekas juruelektrik pernah ditahan di Lubnan pada Oktober 2012 kerana cuba untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas.

"Mereka diiringi pulang ke Malaysia oleh pasukan khas Bahagian Counter Terrorism Jumaat lepas dan ditangkap setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang, Selangor," katanya.

Khalid berkata empat suspek lain ditangkap merupakan saki-baki anggota kumpulan Tandzim Al Qaeda Malaysia yang masih bersembunyi selepas operasi tangkapan ke pemimpin-pemimpin kanan kumpulan itu pada Februari 2013.

Katanya dua lagi suspek merupakan penjawat awam yang disyaki terlibat dalam kumpulan IS dan giat menyebarkan ideologi kumpulan pengganas dalam kalangan penjawat awam di jabatan terbabit.

Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA-Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (Akta 747), katanya. - Bernama

Share on Myspace