DAP angkuh desak Azmin gugur exco PAS

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan DAP terlalu angkuh apabila bertindak mahu mendesak Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali agar menggugurkan tiga Exco negeri daripada PAS.

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasruddin Hassan berkata, PAS tidak akan tergugat dengan apa yang cuba dilakukan oleh DAP mutakhir ini.

Beliau berkata, kenyataan DAP itu secara tidak langsung memperlihatkan sejauh mana kematangan mereka berpolitik.

"Kalau dia matang dan bijaksana berpolitik pasti kenyataan seperti itu tidak dikeluarkan.

"Tapi oleh kerana lebih kepada kemaruk kuasa akhirnya ia tidak menunjukkan kematangan parti itu," tegas Nasrudin kepada Harakahdaily di Lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan DAP Selangor yang telah membuat keputusan untuk mendesak Azmin mengugurkan tiga Exco PAS.

DAP memberi tempoh sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri dan sebelum September untuk Azmin membuat keputusan itu.

Sekiranya Azmin gagal mengambil tindakan, DAP akan bertindak keluar daripada pentabdiran Negeri Selangor.

Desakan itu diputuskan dalam mesyuarat tergempar DAP Selangor baru-baru ini.

Tiga Exco PAS itu ialah Datuk Iskandar Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidi Abdul Talib. – HARAKAHDAILY 2/11/2015

Share on Myspace