Tunggakan Yik: Syarikat usahasama tidak lunas bayaran

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjelaskan tunggakan pinjaman kakitangan Yayasan Islam Kelantan (Yik) berlaku disebabkan syarikat yang mengadakan kerjasama dengan agensi itu tidak melunas bayaran sebagaimana sepatutnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata sepatutnya isu berkenaan sudah selesai tahun lepas.

Katanya kerajaan negeri menjangka mendapat RM10 juta hasil pelaburan Yik dengan syarikat swasta namun bayaran itu tidak diterima.

“Kita tidak terima bayaran daripada syarikat terbabit dan Yik telah mengambil tindakan mahkamah terhadap syarikat itu.

“Keputusan mahkamah berpihak kepada Yik dalam kes berkenaan dan syarikat terbabit perlu membayar sebagaimana sepatutnya,” katanya ketika ditemui selepas persidangan Dun Kelantan hari ini.

Difahamkan dua syarikat yang mengadakan kerjasama dengan Yik tidak menjelaskan bayaran hasil keuntungan projek perladangan.

Sebuah daripada syarikat itu sepatutnya membayar kepada Yik sebanyak RM6.5 juta, namun belum lagi membayar sehingga sekarang.

Sebelum itu ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) Dr Fadzli berkata tunggakan potongan gaji kakitangan Yik yang belum dijelaskan Yik sekarang berjumlah RM12.6 juta.

Menurutnya sebanyak RM2 juta telah dibayar Yik sebelum ini kepada beberapa koperasi yang terlibat memberi pinjaman kewangan.

Kata beliau juga dalam tempoh tiga tahun kebelakangan jumlah tunggakan meningkat dengan ketara, di mana September lalu berjumlah RM14.6 juta.

Katanya jumlah tunggakan meningkat disebabkan penyelarasan gaji guru-guru Yik.

“Sebelum 2001 tidak berlaku tunggakan pinjaman kerana tidak ramai kakitangan Yik yang membuat pinjaman. Sekarang ramai guru yang berjawatan tetap melayakkan mereka membuat pinjaman,” ujarnya.

Katanya isu berkenaan mendapat perhatian serius kerajaan, di mana ia dibincang setiap kali mesyuarat Lembaga Yik.

“Sekarang kita buat pelan pembayaran balik dan sebagai permulaan kita sudah bayar RM2 juta. Jadi jumlahnya berkurang kepada RM12.6 juta,” katanya.

Beliau juga memberitahu kerajaan negeri membuat pengstrukturan pembayaran balik pinjaman tersebut bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Isu terbabit sebelum ini dibangkit melalui surat terbuka Adun Salor, Datuk Husam Musa yang diviral di media sosial.

Bagaimanapun pada persidangan pagi tadi Adun berkenaan tidak kelihatan, difahamkan beliau terbabit dengan perbicaraan di mahkamah. - HARAKAHDAILY 2/11/2015

Share on Myspace