OKU hantar memo kecewa dengan bajet 2016

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sekretariat Prihatin OKU Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan OKU Malaysia melahirkan rasa kecewa apabila tuntutan dari sesi Bajet 2015 masih belum dipenuhi oleh kerajaan.

Pengerusinya Mohamad Faizal Che Yusof berkata, tuntutan yang belum dipenuhi itu antaranya kenaikan elaun kepada pekerja cacat dari RM350 kepada RM550 yang mana telah dipersetujui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Kita mendesak Kementerian Kewangan untuk memberi perhatian kepada kebaikan elaun ini.

"Manifesto 2013 parti pembangkang memang bersedia ke arah kenaikan dan manifesto BN memberi perhatian tetapi pelaksanaan itu perlu disegerakan," katannya.

Jelas beliau, pihaknya mempunyai 15 tuntutan secara khusus yang mana ia ke arah pengupayaan OKU di negara ini.

Katanya, OKU bukan sahaja berkisar kepada kebajikan tetapi lebih kepada pengiktirafan hak sebagaimana menteri sendiri akui iaitu 15 peratus populasi negara adalah OKU.

"30 juta rakyat Malaysia, 4.5 peratus adalah OKU, unjuran ini diterima pakai pada WHO. Atas dasar ini kita tuntut kesungguhan kerajaan di atas pengupayaan OKU pelbagai katagori," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan  Memorandum Pengupayaan Orang Kurang Upaya kepada Ahli Parlimen PAS yang diwakili oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Rosni Adam yang mengiringi rombongan itu berkata PAS cuba untuk memahami keperluan OKU iaitu memperjuangkan hak mereka khususnya kesedaran orang awam kepada OKU.

"Kepedulian dan cakna orang awam kepada OKU, bagaimana orang awam perlu melihat isu OKU bersama bukan melepaskan kepada OKU semata-mata," katanya ketika ditemui.

Ini kerana katanya, masyarakat sekarang dilihat kurang cakna terhadap OKU.

"Kalau kita lihat orang awam ramai yang tidak prihatin, OKU terpaksa tunggu saudara mara untuk menyantuni mereka. PAS mahu memelihara kesejahteraan OKU ini agar mereka hidup dengan lebih mudah," katanya.

Turut bersama Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan,  Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dan Ahli Parlimen Hulu Langat Dr. Che Rosli Che Mat. – HARAKAHDAILY 2/11/2015

Share on Myspace