Harga rumah Selangorku tidak naik - Iskandar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tidak berlaku kenaikan harga rumah Selangorku walaupun kos pembinaan dijangka meningkat ekoran kejatuhan nilai ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata kerajaan negeri berhasrat mengadakan perbincangan dengan pemaju untuk mengkaji semula kos perumahan.

Menurut beliau, bbuat masa ini belum ada keputusan mengenainya di pihak kerajaan negeri.

“Namun, kita sebolehnya tidak menaikan harga rumah kerana kerajaan negeri sudah menetapkan kadar sebelum ini,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata kejatuhan ringgit memberi kesan kepada pemaju daripada segi harga bahan mentah dan bahan binaan import.

“Sekarang belum ada keputusan menaikkan harga rumah mampu milik. Kita adakan kajian kos kesan penurunan ringgit," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Menurutnya, bagi perumahan, ada bahan mentah digunakan dari tempatan seperti keluli, paling ketara peningkatan harga ialah kos membeli lif kerana semua diimport.

“Memang ada kesan pada pemaju, kerana itu kerajaan negeri akan adakan perbincangan dengan pemaju,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen Kuala Selangor yang mengatakan kerajaan negeri mengenakan pelbagai caj kepada pemaju menyebabkan pemaju bermasalah membina rumah mampu milik.

Katanya, kerajaan negeri memberikan pelbagai faedah antaranya menetapkan penurunan 10 peratus bagi caj premium.

“Kita kesal dengan dakwaan itu, sepatutnya beliau mengkaji terlebih dahulu,” katanya yang juga Adun Chempaka. - HARAKAHDAILY 2/11/2015

Share on Myspace