Bantuan banjir disalur melalui ketua Umno

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Penyokong kerajaan meluahkan rasa hairan senarai penerima bantuan banjir di bawah kerajaan pusat disalur melalui ketua Umno bahagian dan bukan agensi kerajaan.

Sedangkan kata Rozi Muhamad (PAS-Tendong) senarai mangsa banjir turut diangkat penghulu yang disahkan penggawa daerah sebelum diserah kepada Ketua Jajahan (DO).

Katanya, senarai kedua mangsa banjir juga diangkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

“Namun malangnya senarai penerima bantuan yang layak tidak diagih semula kepada Pejabat Jajahan atau penggawa sebaliknya diberi melalui ketua Umno.

“Sepatutnya perkara seperti itu tidak berlaku yang memperlihatkan ia dipolitikkan pula,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan pada persidangan Dun Kelantan hari ini.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, isu terbabit tidak sepatutnya berlaku memandangkan semua pihak memain peranan membantu mangsa-mangsa banjir.

Sedangkan katanya penyelarasan bantuan pernah dibincangkan dalam Jawatankuasa Bersama Bencana Negeri yang dianggotai agensi kerajaan negeri dan pusat.

Oleh itu beliau memberitahu akan membangkitkan lagi isu berkenaan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Kelantan.

Sebelum itu Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran) mendakwa ada sekolah di bawah Jabatan Pelajaran Negeri tidak membenarkan sekolah mereka dijadikan tempat pemindahan mangsa banjir dengan alasan tiada dalam senarai.

“Sedangkan mangsa-mangsa banjir perlu dipindahkan segera ke tempat lebih selamat. Sebagai wakil rakyat kita meminta kebenaran sekolah dijadikan pusat pemindahan.

“Sepatutnya perlu ada penyelarasan bagi membolehkan wakil-wakil rakyat turut memain peranan membantu rakyat,” katanya.

Menjelaskan perkara itu Menteri Besar berkata Jawatankuasa Bencana Peringkat Jajahan dipengerusikan DO turut disertai wakil-wakil rakyat.

Menurutnya DO diberi kuasa untuk membuka pusat pemindahan baru biar pun pada awalnya tidak disenaraikan bagi membantu mangsa banjir.

“Ada tempat pemindahan yang hanya boleh menampung 400 mangsa banjir namun ketika banjir besar akhir tahun lepas 4,000 mangsa banjir ditempatkan di pusat tersebut,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 2/11/2015

Share on Myspace