Bajet 2016: PAS tidak terikat arahan parti lain

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS mempunyai pendekatan tersendiri dan tidak terikat dengan sesiapa serta bebas untuk berbahas di parlimen, demikian tegas Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan.

Katanya, PAS akan menyokong perkara yang baik dan memberi respons positif walau dari mana sekalipun ia datang.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang  yang telah sebulat suara bersetuju untuk tidak menyertai usul penolakan Bajet 2016.

Bahkan beliau menolak dakwaan DAP bahawa sikap berkecuali PAS itu kononya PAS bersama BN.

"Tidak, kita ambil pendekatan ini untuk beri teguran kepada kesalahan yang berlaku seperti dalam Bajet 2016. Sebelum ini di dalam dewan kita bantah parkara yang memudaratkan rakyat seperti GST," katanya.

Jelasnya, PAS tidak boleh menafikan BN mempunyai unsur-unsur negatif tetapi tidak semua terma-terma di dalam Bajet 2016 adalah tidak betul.

"Bajet 2016 bukanlah 100 peratus tidak betul. Apa yang bagi kebaikan kepada rakyat kita kena akui kita akan sokong dari sudut itu. Tetapi perkara yang merugikan seperti membazir dan tidak menguntungkan rakyat kita akan tegur," ujarnya kepada Harakahdaily.

Namun katanya, jika nasihat PAS kepada kerajaan tidak diendahkan maka selayaknya PAS harus bangkit mengubah dan mengambil alih kerajaan.

PAS akan mengambil langkah berkecuali serta tidak akan menyokong usul penolakan Bajet 2016.

Menurut TG Abdul Hadi, kesemua Ahli Parlimen PAS juga telah sebulat suara bersetuju untuk tidak menyertai usul menolak Bajet 2016.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, meminta kesemua wakil rakyat pembangkang menolak usul Bajet 2016. – HARAKAHDAILY 2/11/2015

Share on Myspace