Gesa had kelayakan pendapatan OKU dinaikkan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff meminta agar kerajaan menaikan had kelayakan pendapatan bulanan Orang Kurang Upaya (OKU) dinaikan daripada RM1200 kepada RM3000 sebulan.

Beliau ketika perbahasan Bajet 2016 berkata kenaikan ini akan memberi peluang kepada golongan OKU yang berpendapatan RM3000 sebulan turut mendapat Elaun Pekerja Cacat yang disediakan kerajaan.

"Pembangunan OKU yang pelbagai kategori pada hari  ini adalah suatu hak yang telah diiktiraf dan dijamin oleh perundangan antarabangsa dan domestik.

"Atas dasar keperihatinan kita, kerajaan digesa menaikan had pendapatan bulanan daripada RM1200 kepada RM3000 sebulan dan ini memberi peluang kepada golongan OKU yang lain," katanya.

Menurut beliau, kenaikan ini disebabkan oleh kos sara hidup yang semakin meningkat dan pendapatan RM3000 sebulan masih dikategorikan sebagai miskin, apatah lagi jika berada di kawasan bandar.

"Saya juga menggesa agar kerajaan turut menaikan elaun pekerja cacat (EPC) kepada RM500 sebulan daripada RM300 yang diterima sekarang.

"Apa yang saya lihat di dalam bajet yang dibentangkan sebelum ini kerajaan mencadangkan kenaikan hanya RM350 sebulan, ini perlu diteliti semula," katanya lagi.

Zailah turut mencadangkan bagi meringankan beban ibu bapa yang menjaga anak-anak OKU ini turut dinaikan elaun daripada RM300 kepada RM500 sebulan dan ini bagi membantu bebanan perbelanjaan yang dihadapi oleh keluarga penjaga.

Katanya, ia dapat menggalakkan penjagaan yang lebih sempurna kepada anak-anak OKU dan juga pesakit kronik yang terlantar. – HARAKAHDAILY 2/11/2015

Share on Myspace