Royalti: Dun Kelantan dijangka tolak Akta 750

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) kali ini dijangka membentang usul bagi menolak Akta 750 yang dilulus di parlimen sebelum ini.

Usul berkenaan dijangka dibawa wakil kerajaan memandangkan akta berkenaan secara tidak langsung menafikan hak Kelantan ke atas royalti petroleum.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata sepatutnya kerajaan terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-Raja Melayu sebelum akta itu dibentang ke parlimen.

Bagaimanapun katanya apa yang berlaku rang undang-undang berkenaan dilulus secara tergesa-gesa tanpa dibincangkan secara mendalam kerana ia melibatkan hak negeri.

“Usul berkenaan cukup penting untuk dibincangkan kerana hak Kelantan dan negeri-negeri lain juga terjejas,” katanya selepas persidangan Dun hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata usul mengenainya dijangka dibentang pada hari akhir persidangan Dun kali ini.

Pada 18 April 2012 kerajaan Persekutuan membentangkan Rang Undang-Undang Laut Wilayah Malaysia 2012.

Tujuan untuk memenuhi syarat-syarat Konvensyen Undang-undang Laut Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS).

Ekoran itu setiap negeri di Malaysia perlu menyerahkan pelantar benua kepada kerajaan Persekutuan dan perairan wilayah setiap negeri hanya dihad 3 batu nautika.

Menteri Besar menegaskan kerajaan negeri tetap memperjuangkan hak Kelantan kerana Akta 750 menghilangkan wilayah laut yang menjadi milik setiap negeri. – HARAKAHDAILY 2/11/2015

Share on Myspace