Kerakusan DAP 'menawan' Malaysia makin terserlah

DR MOHD ZUHDI MARZUKI | .

MUTAKHIR ini pimpinan DAP makin menyerlahkan kerakusan mereka untuk menawan Putrajaya dengan menunggangi parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) dan beberapa individu Melayu yang menyertai DAP. Tindakan DAP mengisytiharkan keputusan mereka untuk bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi PAS di Selangor jelas membelakangkan PAN yang diyakini mempunyai keinginan bertanding di kerusi yang sama.

Selain itu, DAP terus mendesak Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR untuk menyingkirkan exco PAS. Jelas sekali DAP kini cuba memperbudak-budakkan parti-parti lain dalam PH.

Semenjak PAS bertahaluf bersama DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) telah menelaah strategi dan unjuran DAP untuk menguasai Malaysia melalui PR, iaitu dengan memaksimakan kemenangan calon-calon bukan Islam dan meminimakan kemenangan calon-calon Islam.

Pendekatan mereka ialah dengan memainkan isu-isu sensitif berkaitan sentimen agama dan kaum, seperti isu kalimah Allah, penolakan dasar-dasar afirmatif seumpama DEB dan lain-lain. Ketika itu, PAS sentiasa menjadi halangan utama disebabkan manipulasi isu seperti ini akan merugikan PR secara keseluruhan.

Hari ini, DAP terus dilihat oleh masyarakat Melayu-Islam mengamalkan pendekatan tersebut dengan menyerang kepentingan masyarakat Islam, tidak menghormati institusi Melayu, memperlekehkan kepimpinan Islam, mengobarkan sentimen anti Melayu dan lain-lain.

PPP melihat strategi ini adalah untuk terus melonjakkan sokongan pengundi bukan Islam. Bagi mendapat sejumlah kecil sokongan pengundi Islam yang turut penting untuk menawan Putrajaya, DAP mempergunakan PAN dan segelintir PKR untuk menyempurnakan hasrat mereka.

PPP yakin bukan sahaja pengundi Melayu-Islam akan menolak DAP, malah pengundi Cina dan bukan Islam yang lain juga akan menyedari niat kotor DAP ini.

PPP menasihatkan DAP menerima realiti tentang akar umbi sejarah, latar belakang budaya dan susur galur nilai yang telah membentuk struktur sosial dan tatacara politik Malaysia. Kesemua elemen itu telah menjamin keharmonian masyarakat dan kestabilan politik dalam negara ini.

Kerakusan DAP membelakangkan faktor-faktor keharmonian dan kestabilan itu lambat laun akan disedari oleh rakyat termasuk kaum Cina, justeru  PPP berkeyakinan rakyat akan menolak DAP dalam pilihan raya umum akan datang. – HARAKAHDAILY 3/11/2015

Penulis ialah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP)

Share on Myspace