MAPIM gesa kerajaan haramkan rokok elektronik

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) mengesa kerajaan tidak berlengah lagi untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok Elektronik (E-rokok) sebagai suatu langkah mengelakkan masyarakat awam terjebak dalam amalan yang merosakkan kesihatan, membazir dan mengheret generasi muda ke dalam gejala negatif.

Sementara kami juga berpendirian rokok konvensional perlu diharamkan, rokok elektronik yang dicipta kononnya untuk mengganti ketagihan kepada rokok konvensional bukan suatu penyelesaian. Penciptaan Rokok Elektronik (E-Rokok) tidak lain dari hanya suatu produk komersial yang bukan bertujuan untuk merawat tetapi hanya untuk mengalih ketagihan kepada produk baru yang seiras dengan rokok konvensional.

Kami menyokong fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan yang berpendirian E-Rokok adalah haram sama seperti fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa haram merokok pada tahun 1995 .

Kami berpendapat sudah cukup masyarakat awam terdedah kepada pelbagai gejala gaya hidup negatif seperti merokok. Janganlah tabiat merokok dengan alat baru yang digelar Vape (E-Ciggarate) itu menambahkan lagi bahaya kepada kesihatan awam. Kini lebih 50% penduduk Malaysia adalah merokok dan implikasi kepada kesihatan, ekonomi dan sosial masyarakat sangat berat.

Fakta mengatakan rokok elektronik adalah lebih selamat dan alternatif kepada rokok yang sedia ada, boleh dipersoalkan. E-rokok dipromosi sebagai alternatif kepada rokok tembakau, akan tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia  (WHO) tidak pula menganggap ia suatu terapi yang sah untuk perokok berhenti merokok . Ia bukan pengganti kepada terapi nikotin.

Sekurang-kurangnya sudah  ada kajian yang menunjukkan kesan alergi akibat mengguna e-rokok ini .

Bagi kami, mengguna bahan perisa yang mengandungi bahan kimia serta menghisap bahan kimia ke dalam tubuh badan seorang yang ketagih kepada e-rokok, ada bahayanya dan ia tidak boleh dipandang remeh. Yang jelas ialah oksigen yang sepatutnya menjadi satu-satunya bahan yang masuk dalam paru-paru, kini e-rokok dan bahan-bahan yang tercemar yang lain juga dimasukkan kedalam sistem pernafasan pengguna.

Dalam laporan di AS pada Januari 2014, terdapat 466 jenama Vape yang ada dalam pasaran. Malah untuk setiap jenama, ia mempunyai website nya sendiri. Juga terdapat 7,764 perisa cecair elektronik, dan ratusan lagi perisa baru muncul setiap bulan. Semua ini merupakan bahan kimia untuk menangkap selera pengguna kepada perisa yang baru.

Pembazirannya sangat jelas . Seorang pengguna membeli dipasaran gajet e-rokok dari harga antara RM159 hingga RM245. Sebotol perisa mencecah RM33 untuk satu jenis perisa.

Sasaran yang paling popular ialah kalangan kanak-kanak dan remaja kerana ia membawa pelbagai perisa yang menarik golongan ini untuk mencuba. Kini peningkatan penggunaan e-rokok menjadi suatu gaya baru yang menular sangat pantas dalam kalangan generasi muda. Kerana tidak ada kawalan dan larangan menjualnya, e-rokok kini dijual di pasar raya sehingga ke pasar malam.

Apakah ibu bapa mahu anak-anak mereka terjebak dengan penagihan e-rokok dengan menghabiskan wang dan mendedahkan diri kepada risiko bahaya kepada kesihatan untuk tabiat merokok yang baru?

Soalnya, setiap pengeluar perisa rokok elektronik tidak diperlukan menyenaraikan kandungan kimia dan kadar nikotine yang terkandung didalamnya. Jikapun disenaraikan, ia tidak boleh dipercayaai sepenuhnya. Beberapa perisa e-rokok telahpun dinilai membawa risiko kepada paru-paru  pengguna.

Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) menyatakan E-Rokok mengeluarkan wap nikotin yang boleh menjadi pemangkin kepada kanser dalam kalangan pengguna rokok elektrik.

"Apabila cecair nikotin bercampur dengan bahan pelarut lain seperti propelyn glycol dan glycerine yang disedut melalui rokok elektrik dan diruapkan kembali ke udara bersama nitrogen oksida, campuran inilah yang boleh menyebabkan pemangkin kepada kanser dalam kalangan pengguna rokok elektrik," kata NCSM dalam satu kenyataan.

Sebuah pasukan penyelidik di Portland State University di Oregon Amerika Syarikat membeli dan menganalisa 30 perisa elektronik dan mendapati "kadar perisa dalam beberapa cecair yang diguna adalah tinggi - ada sehingga 4 peratus ". Ini tidak disangka kata ahli kimia James Pankow yang menerbitkan dapatan kajiannya dalam laporan online, Tobacco Control.

Enam daripada 24 bahan kimia yang dikenal pasti adalah aldehydes, yang diketahui penyebab utama kepada rasa tidak selesa pada tekak seorang pengguna rokok elektronik.

Katanya, bernafas adalah berlainan dari memakan sesuatu. Paru-paru tidak seperti usus untuk dalam menapis apa yang dimasukkan dalam tubuh badan seseorang. Mengikut Flavor Extracts Manufacturers Association,  adalah "salah dan mengelirukan" untuk mengatakan perisa makanan selamat untuk rokok elektronik.

Mengikut penyelidik Hillel Alpert, dari Harvard School of Public Health melaporkan "kandungan - terutama pyrazines — menyumbang kepada rasa lebih selesa untuk menyedut". Namun bahan ini lebih memudahkan remaja untuk kemudiannya mengambil nikotin dan akhirnya menjadi ketagih. Nikotin adalah bahan paling beracun yang diguna dalam pestisida.

Pengguna e-rokok jelas mendedahkan diri kepada risiko  apabila mengguna sebuah gajet berbateri untuk menghasilkan wap untuk dihidu. Walaupun jarang didengari alat e-rokok itu meletup , akan tetapi ia bukan tidak pernah berlaku.

Laporan BBC, e-rokok yang meletup akibat salahguna pengecas pernah berlaku.  Seorang warga UK, 62 tahun mati pada Ogos 2014 kerana mengguna alat pengecas yang tidak sesuai dengan gajet e-rokok . Demikian juga pada Julai tahun yang sama, akibat salah pengecas menyebabkan sebatang canister terbakar dan meletup serta membunuh seorang pengguna e-rokok.

Pada hakikatnya tidak ada negara yang setuju penggunaan rokok elektronik. China sebagai penemu awal rokok ini, iaitu tahun 2003, selanjutnya justru melarang kewujudan rokok ini sendiri kerana dianggap membahayakan kesihatan. Singapura, Argentina, Brazil, Cambodia, Mexico, Nicaragua, Panama, Qatar, Seychelles dan Turki sudah mengharamkannya .

Secara terperincinya, dikatakan bahawa dalam rokok elektronik terkandung jenis nikotin yang bervariasi, iaitu nikotin pelarut, propilen glikol, dietilen glikol, dan gliseren yang apabila dipanaskan akan menghasilkan nitrosamine. Dan larutan nitrosamine ini nantinya kan menjadi penyebab terjadinya kanser.

Kami mengesa pihak kerajaan tidak terlalu mengikut tren orang ramai yang dipengaruhi oleh industri merokok dalam pelbagai bentuk. Pengharaman rokok dan e-rokok sepatutnya dikuatkuasakan sebelum rakyat negara ini terheret sekali lagi kedalam tabiat dan gaya hidup yang membawa mudharat.

Kami kesal ada Menteri yang beria-ia mempertahankan industri e-rokok ini dengan alasan ia menjadi industri yang boleh mendatang pendapatan kepada usahwan. Padahal Menteri Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan bahawa e-rokok perlu disiasat mengenai keselamatannya.

Ada yang mendakwa berjaya berhenti merokok apabila menggunakan rokok eletronik ini, dan tidak kurang juga yang membuat dakwaan bahawa rokok elektronik ini adalah lebih bahaya daripada rokok asli.

Produk vape sehingga ini tidak dikawal oleh sebarang peraturan. Ia tidak berada dibawah kawalan mana-mana undang-undang, termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat. Walaupun pada April 2014 FDA (Pihak Berkuasa Makanan dan Ubatan)  AS mahu memasukkan rokok elektronik sebagai produk yang perlu dikawal, sehingga ini ia tidak berjaya.

Bermakna sehingga ini kanak-kanak di bawah umur boleh membeli rokok elektronik tanpa sebarang halangan. Malah mereka sangat mudah membelinya melalui internet. Kanak-kanak tidak terlindung dari ancaman rokok eletronik.

Kami mendesak Kementerian Kesihatan tidak menunda lagi keputusan untuk mengharamkan e-rokok sebelum terlambat. Kecanggihan pihak yang mahu meraih keuntungan lumayan dari industri ini sedang mengambil kesempatan untuk memperkenal satu produk yang menghasilkan ketagihan yang baru terutama dalam kalangan generasi muda.

Oleh sebab bahaya e-rokok belum dipastikan, adalah lebih baik ia dilarang dari dijual dan diguna dikalangan masyarakat awam. Sesuatu yang dicurigai adalah lebih selamat dihindari dari menunggu natijah negatif yang berlaku dan sukar untuk dirawati dikemudian hari. – HARAKAHDAILY 3/11/2015

Share on Myspace