Belanjawan Selangor: RM59.6 juta elaun guru Kafa

SAIDAH HAIRAN | .

SHAH ALAM: Dewan Undangan gemuruh dengan tepukan apabila mendengar pantun dua kerat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Pantun dua kerat; `Dengan GST hidup terbelenggu; ini solan yang ditunggu-tunggu' ketika menjawab soalan daripada Adun BN-Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik ketika sesi soal jawab lisan sidang DUN, pagi tadi.

Beliau berkata, kerajaan negeri bukan tidak menghargai peruntukan daripada Jakim sebanyak RM800 untuk membayar elaun guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Katanya, tetapi kerajaan negeri menerima peruntukan elaun untuk guru-guru Kafa daripada tiga sumber.

"Saya sangat tertarik dengan soalan dari Adun BN-Sungai Burung yang mengatakan kerajaan Persekutuan telah memberi bantuan elaun sebanyak RM800," katanya.

Beliau memaklumkan, jumlah guru-guru Kafa ialah 6,900 dan hanya lebih kurang 2,500 sahaja dibiayai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu elaun sebanyak RM800 sahaja.

Katanya, Jakim hanya memberi peruntukan sebanyak RM30 juta manakala kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM59,614,790 untuk membayar elaun guru-guru Kafa yang selebihnya.

"Sebahagian elaun guru Kafa dibiayai Baitul Mal; 2,500 orang mendapat elaun daripada Jakim iaitu sebanyak RM800 dan selebihnya dibiayai oleh kerajaan negeri seratus-peratus dengan kenaikan elaun sebanyak RM1,500," tegasnya.

Adun DAP-Sekinchan, Eng Suee Lim membuat soalan tambahan, tanggungjawab membayar elaun guru Kafa sepatutnya dibuat oleh kerajaan Persekutuan tetapi hanya dibayar sebahagian sahaja.

"Alhamdulillah, kerajaan negeri prihatin dan kita terjemahkan mesej peduli terhadap rakyat. Kita bantu guru-guru Kafa. Inilah rakyat Selangor dapat hasil daripada pentadbiran kerajaan negeri hari ini," katanya.  – HARAKAHDAILY 3/11/2015

Share on Myspace