Speaker Dewan Rakyat izin debat 1MDB tetapi bersyarat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kedua-dua individu yang akan terlibat dalam perdebatan isu 1MDB dikenakan syarat oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Menurut Pandikar Amin ketika mengemukan Peraturan Mesyuarat di Dewan Rakyat hari ini membenarkan perdebatan tetapi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dikehendaki meletak jawatan sebagai aggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) manakala saksi siasatan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy tidak lagi terlibat dalam mana-mana PAC.

"Saya tidak akan menghalang debat secara langsung yang hendak diteruskan. Saya benarkan tetapi bersyarat," tegas Pandikar.

Bahkan katanya, apa-apa pendedahan keterangan Jawatankuasa PAC tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat Seksyen 23.

Katanya, kedua-dua pihak itu sekali gus bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 23(1)E di mana perdebatan itu akan melibatkan kenyataan dan perjalanan jawatankuasa.

"Perkara yang hendak diperdebatkan suatu perkara masih dalam siasatan PAC. Keterangan yang dikeluarkan adalah perkara yang belum matang.

"Kenyataan yang dikeluarkan dalam debat cenderung kepada tuduhan yang tidak dibenarkan dalam Peraturan Mesyuarat 23(1)0 sekali gus ia mengganggu dan menjejaskan siasatan PAC," jelas beliau.

Bagaimanapun, Pandikar Amin menegaskan beliau akan mengundurkan diri daripada menjadi Speaker sekiranya kerajaan mahu meneruskan debat itu.

Beberapa Ahli Parlimen Pembangkang bangun meminta penjelasan daripada Speaker antaranya Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming, dan Ahli Parlimen Kapar G. Manivannan.

Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan turut meminta penjelasan daripada Speaker.

"Adakah Tan Sri sebagai Speaker membuat  'gap order' iaitu mana-mana orang yang disenaraikan untuk jadi saksi iaitu Arul, untuk panggil beliau dan PAC memberi notis selama 14 hari kerana apa-apa boleh berlaku," soal beliau. - HARAKAHDAILY 3/11/2015

Share on Myspace