Agensi pusat kurang minat Bertani Satu Ibadah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biarpun kempen Bertani Satu Ibadah dilancar di Kelantan sejak 2009, namun ia kurang mendapat sambutan agensi pertanian di bawah kerajaan pusat.

Sedangkan kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi pada persidangan Dun hari ini, konsep terbabit berjaya meningkatkan kesedaran petani mengusahakan bidang pertanian secara lebih bersungguh-sungguh.

Beliau berkata, kempen berkenaan kini diperluaskan sehingga ke peringkat masjid mukim dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

“Kerajaan negeri juga menerbit buku khas mengenainya,” katanya pada sidang Dun.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) beliau berkata malangnya kempen itu kurang mendapat sambutan agensi-agensi di bawah pusat.

“Sedangkan kita di peringkat negeri juga menerimapakai tema Pertanian Adalah Perniagaan yang digunakan di peringkat persekutuan kerana pertanian bagi menjana pendapatan.

“Namun, konsep Bertani Satu Ibadah lebih meluas sebagai kesinambungan Pertanian Adalah Perniagaan. Ia bukan semata-mata sebagai sumber pendapatan sebaliknya mencakupi semua perkara dalam kehidupan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur konsep itu mulai diminati pembangkang di Kelantan yang mahu kempen kesedaran bidang pertanian mencakupi bidang lebih luas.

Menjawab soalan asal Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumbuh) Che Abdullah berkata penghayatan konsep Bertani Satu Ibadah turut mencakupi usaha kerajaan negeri memulih tanah terbiar. – HARAKAHDAILY 3/11/2015

Share on Myspace