Rakyat Kelantan perlukan pelabuhan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat digesa membina pelabuhan di negeri Kelantan sebagai usaha menjadikan negeri yang digelar Serambi Mekah itu  pesat membangun, demikian tegas Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Mazian Nik Mohamad.

Ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2016, Nik Mazian turut merayu kepada kerajaan agar membina pelabuhan walaupun ia hanya sebuah pelabuhan kecil.

"Kita perlukan pelabuhan, sehingga kini kita tidak dibenarkan. Ia tetap tidak dibenarkan. Saya merayu. Kecil pun tak apa," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau juga yakin dan percaya pelabuhan itu nanti akan menyumbang kekayaan kepada rakyat, negeri, seterusnya Malaysia.

Nik Mazian turut mengakui negeri Kelantan jauh ketinggalan berbanding Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun katanya, rakyat Kelantan  mempunyai sifat sabar dan menerima apa sahaja yang diberi oleh kerajaan pusat.

"Mereka tidak banyak mengadu dalam masa yang sama mereka terus memilih pembangkang menerajui negeri Kelantan," katanya.

Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa turut bersetuju negeri Kelantan sangat ketinggalan berbanding negeri lain.

"Dengan kerjasama PAS dengan BN akan membawa harapan baru kepada Kelantan nanti," ujarnya ketika mencelah. – HARAKAHDAILY 3/11/2015

Share on Myspace