Vape: 3 ml 'solution' sama dengan 20 batang rokok?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dr Izani Husin kesal dengan keputusan Kabinet meneruskan penggunaan rokok tiruan (vape) dan perniagaan itu dengan alasan kehendak remaja dan elemen perniagaan dengan membelakangkan pandangan perubatan, nasihat ataupun fatwa.

"Pada saya, Kabinet agak gopoh dalam membuat keputusan," ujar Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu ketika membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, rokok vape mempunyai apa yang dikatakan vape solution.

Katanya, tiga ‘ml’ kandungan solution itu mengandungi 14.4 miligram formaldehyde bersamaan dengan 20 batang rokok sehari.

Tambahnya, kalau lima ‘ml’ dihabiskan sehari, sebanyak 24 miligram formaldehyde yang bahaya itu diserap yang boleh menyebabkan kanser.

"Ia equal ataupun sama dengan 33 batang rokok sehari," ujarnya.

Beliau berkata, ada kajian yang menunjukkan bahawa 20 batang rokok boleh menyebabkan kanser dengan nisbah 900 orang per million tetapi 14.4 miligram formaldehyde daripada vape boleh menyebabkan 4,200 orang per million.

"Ertinya lima kali ganda menghisap vape lebih tinggi kejadian kanser berbanding dengan rokok.

"Jadi saya rasa perkara ini sepatutnya tidak dipermainkan, seharusnya diteliti dengan lebih serius sebelum membuat apa-apa keputusan," kata beliau. - HARAKAHDAILY 3/11/2015

Share on Myspace