Belanjawan Kelantan 2016 perbelanjaan berhemat

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kelantan membentang Belanjawan 2016 bertema Keberkatan Membawa Kemakmuran dengan melaksanakan perbelanjaan berhemat.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata bajet tersebut memberi tumpuan kepada lima aspek dengan keutamaan memperkasakan pembangunan insan berteraskan Islam.

Selain itu merancakkan pembangunan ekonomi rakyat termasuk membela golongan daif, miskin, OKU, anak yatim, armalah dan warga emas.

“Walaupun kejatuhan nilai ringgit di samping banjir besar melanda Kelantan akhir tahun lalu, ekonomi Kelantan terus kekal sederhana tahun ini.

“Syukur Alhamdulillah walau pun ia sedikit sebanyak membantutkan ekonomi, namun masih kekal sederhana. Insya Allah pada tahun hadapan ekonomi negeri dijangka lebih baik khususnya melalui pelaksanaan projek RMK11,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2016 pada persidangan Dun hari ini.

Hasil yang dianggarkan sebanyak RM593.80 juta meliputi cukai sebanyak RM163.49 juta, hasil bukan cukai RM289.49 juta dan terimaan bukan hasil RM140.86 juta.

Menurut Menteri Besar, jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan hasil sebanyak RM62.97 juta atau sebanyak 11.86 peratus berbanding anggaran hasil 2015 berjumlah RM530.83 juta.

“Hasil hutan merupakan penyumbang terbesar sebanyak RM172.96 juta daripada keseluruhan hasil.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM58.05 juta jika dibandingkan anggaran belanjawan 2015 sebanyak RM114.91 juta,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 3/11/2015

Share on Myspace