Kelantan tetap utama pendidikan agama

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (Yik) menerima peruntukan paling besar iaitu sebanyak RM78 juta bagi perbelanjaan mengurus pada 2016.

Peruntukan itu bertambah sebanyak RM6 juta berbanding Belanjawan 2015 sebanyak RM72 juta.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, pertambahan peruntukan itu selaras dengan dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam dengan mengutamakan pendidikan agama.

Katanya sebanyak RM4 juta lagi disediakan untuk projek pembangunan dan menaik taraf bangunan sekolah Yik.

“Pertambahan sebanyak RM6 juta itu termasuk pembiayaan pendidikan prapersekolahan, aktiviti pendidikan, bantuan pelajaran dan dana pendidikan guru Yik.

“Sebanyak RM2 juta pula untuk Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) untuk projek pembangunan dan pengurusan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias),” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2016 pada persidangan Dun hari ini.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM21.1 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memperluaskan rangkaian jalan negeri.

Ia meliputi pembinaan jambatan di Pulau Melaka, jambatan Kampung Kerinting, Gua Musang dan jambatan di Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh.

Jalan pintas Pasir Tumboh ke Pasir Jelatang, Pasir Hor yang sepanjang 3.7 juta kilometer juga akan dibina.

Bagi mengekalkan program berkebajikan sebanyak RM2.55 juta diperuntuk program penduduk miskin, RM3.3 juta (al It’am), RM1.8 juta (baja subsidi) dan RM800,000 bantuan penyakit kronik. – HARAKAHDAILY 3/11/2015

Share on Myspace