Kemenangan AKP, kegembiraan untuk umat Islam

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

DPPM mengucapkan sekalung ucapan tahniah di atas kejayaan Parti AK (AKP) mempertahankan kemenangan di Turki sekali gus meneruskan penguasaan bagi penggal keempat berturut-turut.

Dalam pilihan raya ulangan yang baru sahaja berakhir kelmarin, AKP mencatatkan 49.3 peratus undi yang melayakkan mereka menghantar 313 perwakilan ke Parlimen.

Dengan itu, AKP layak membentuk kerajaan secara bersendirian (single-party rule) meskipun dalam masa yang sama ia tidak mencapai sasaran 330 perwakilan bagi membolehkan Perlembagaan dipinda seperti yang disasarkan sebelum ini.

Selain itu, parti-parti pesaing utama yang lain terutamanya CHP, MHP dan HDP, masing-masing berjaya memperoleh peratus undian lebih daripada 10 peratus seterusnya membolehkan mereka menghantar wakil ke Parlimen.

Kemenangan AKP disambut dengan rasa syukur melihatkan ketidaktentuan politik Turki sejak akhir-akhir ini. Ini ditunjukkan dengan keputusan pilihan raya umum pada 7 Jun yang menyaksikan kemerosotan yang agak ketara peratusan undi AKP. Ia suatu cabaran yang besar bagi AKP disebalik kemenangan besar yang dicapai berdasarkan rekod pilhanraya umum 2011 yang lalu.

Kelantangan pemimpin-pemimpin utama AKP di samping pengaruh besar yang dimiliki Presiden Turki, Reccep Tayyib Erdogan dalam mempertahankan umat Islam di Palestin merupakan sesuatu yang harus diberi perhatian.

Usaha Turki membela umat Islam di Palestin juga mendapat reaksi positif daripada Parlimen Palestin yang menganggap ia adalah ruang terbaik bagi memberi tekanan diplomasi ke atas Israel. Ini sekali gus meluaskan pengaruh Erdogan di kalangan negara-negara umat Islam.

DPPM sedar bahawa AKP bukanlah parti berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Namun kita memperakukan kekuatan di dalam pentadbiran yang dilaksanakan AKP sehingga mereka layak diangkat sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti dan demokratik untuk beberapa tahun akan datang. Ia sebenarnya menjadi petunjuk mudah bahawa Malaysia di bawah pentadbiran Umno BN masih jauh terkebelakang di dalam mempraktiskan sebuah amalan pentadbiran yang berjaya.

Justeru PAS di samping memuji kebijakan AKP, tetap mengingatkan tentang kewajiban ugama yang masih jauh daripada capaian politik umat Islam hari ini. Menegakkan syariat Allah adalah matlamat yang tiada galang gantinya di dalam mencapai kemenangan sebenar politik Islam hari ini dan pada bila-bila pun.

Walau bagaimanapun, tanggungjawab AKP juga besar. Mereka mesti bergerak kepada Islam setapak demi setapak. Ia memerlukan kebijaksanaan yang jitu bagi memujuk rakyatnya dan kewajipan untuk istiqamah dengan Islam pula adalah suatu komitmen yang begitu getir dan perlu diperhatikan.

Turki adalah sebuah negara yang penuh dengan sejarah peradaban umat Islam. Di situlah keadilan kerajaan Islam diangkat ke tempat yang paling tinggi dan mulia. Di situ jugalah kerajaan Islam jatuh rebah menyembah bumi.

Walau bagaimanapun, suatu hari bumi Uthmaniyyah ini pasti akan bangkit membawa slogan ‘al-Islam huwa al-hal’ dan itu juga slogan kebangkitan bagi seluruh umat Islam termasuklah di Malaysia. Semoga AKP tidak hanyut dengan nikmat memerintah negara yang penuh dengan sejarah kegemilangan Islam itu.

“Beristiqamah Sehingga Kemenangan”

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia,
Ahli Parlimen Pasir Mas. - HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace