Awas! Impak globalisasi ekonomi, liberalisasi kewangan

NASRUDIN HASSAN | .

SEBAHAGIAN isu ekonomi yang mula merajah kebimbangan awal kepada kita ialah mengenai percambahan institusi kewangan asing yang beroperasi di negara kita. Saya kemukakan beberapa asas untuk berkongsi kebimbangan saya terhadap perkara yang agak fundamental iaitu impak daripada globalisasi ekonomi dan liberalisasi kewangan.

Saya beri sedikit gambaran kasar mengenai dasar liberalisasi kewangan yang secara agresif telah dilakukan oleh kerajaan sejak tahun 2009. Ia adalah berpunca daripada keluasan tren globalisasi ekonomi yang telah distruktur sejak sekian lama. Secara rawak, saya memberikan beberapa contoh dampak tren tersebut. Antaranya:

i - lambakan barang dan perkhidmatan import,
ii - pengurangan atau penghapusan tarif
iii - juga secara spesifik kepada sektor pembuatan adalah kebanjiran pekerja asing yang kini hampir mencecah seramai 5 juta orang di Malaysia.

Terkini, Bank Dunia membuka pejabat operasi dan penyelidikannya di Kuala Lumpur. Adakah ia hanya melibatkan operasional, tidak struktural mahupun fundamental ekonomi? Masa akan membuktikan kelak.

Ia bukan satu tanggapan simplistik ataupun sinikal. Agenda globalisasi bukan hanya dinilai daripada aspek kuantitatif semata-mata, sebaliknya juga kualitatif. Ia juga secara halus dan tajam merombak sosio-ekonomi serta sosio-politik negara.

Produksi transnasional termasuk kapital internasional telah menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara. Sejak dari dulu, negara terikat dengan dasar dependensi (kebergantungan) yang keterlaluan terhadap aktor global.

Disebabkan itu, jika disorot daripada sejarah, pada tahun 1980-an, 1990-an, 2007/2008 dan tahun yang mutakhir ini, ekonomi negara terjejas teruk natijah daripada volatiliti (ketidak stabilan) ekonomi global.

Kesannya, ia telah menjadi faktor kritikal dalam penentuan dan penggubalan dasar politik, ekonomi dan sosial negara. Ia telah mencorak pelbagai dasar termasuk polisi buruh, institusi sosial keluarga, pendidikan dan lain-lain. Kita harus mencantumkan puzzles untuk melihat "the big picture."

Kita harus ingat bahawa indikator pembangunan dalam Islam bukan tertakluk secara mutlak kepada ringgit dan sen. Objektif pembangunan bukan hanya untuk memenuhi konsumsi (penggunaan) massa semata-mata.

Kita harus berbeza dengan barat, iaitu doktrin mereka bahawa skala keberjayaan pembangunan mesti mengikis tradisi tempatan dan menurut telunjuk mereka.

Atas dasar itulah saya mengemukakan kebimbangan ini. Kerajaan mesti jelas sikap dan langkah yang diambil bagi mendepani cabaran globalisasi ekonomi agar negara kita tidak "terjajah" dibawah penguasaan ekonomi kapitalis ini. – HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace