Mangsa banjir seronok tinggal dalam khemah

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak wujud segelintir mangsa banjir di Kelantan yang masih tinggal di khemah kerana mahu menagih simpati umum.

Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka telah diberi tawaran rumah sementara  bagaimanapun enggan berpindah kerana unit rumah itu jauh daripada jalan utama.

"Kalau di rumah sementara ia unit persendirian dan orang ramai agak jauh untuk melawat mereka.

"Apabila khemah dekat dengan jalan. Simpati orang ramai sangat luar biasa. Individu seronok tinggal di sana. Orang ramai datang lahirkan simpati," katanya menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan.

Ketika mengajukan soalan, Takiyuddin membangkitkan perkara itu apabila seramai 14 keluarga mangsa banjir masih tinggal di khemah sehingga hari ini telah menjadi viral di media sosial.

"Mangsa sendiri telah ditawarkan rumah sementara. Duduk di khemah, ramai datang menderma. Bagaimana kita hendak ubah sikap masyarakat seperti ini," katanya.

Sebelum itu dalam soalan asal Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa meminta Perdana Menteri menyatakan bilakah jumlah sasaran sebanyak 1225 unit rumah bakal terlaksana dan apakah bentuk kekangan yang dihadapi dalam menyiapkan projek tersebut.

Shahidan turut mengakui kelewatan pembinaan rumah mangsa banjir kerana banyak kekangan yang dihadapi termasuklah soal pemilikan tanah dan pertindihan status tanah dengan pihak berkuasa.

Sebanyak 130 buah Rumah Kekal Baharu (RKB) telah siap diserahkan kepada mangsa, sebanyak 271 unit dalam proses pembinaan dan 40 unit lagi dalam proses pra pembinaan. – HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace