DAP adalah Mr Arrogant dalam blok pembangkang

AHMAD FADHLI SHAARI | .

TINDAKAN Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong menggugut Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali  dan memberi kata dua kepada beliau untuk memecat wakil rakyat PAS daripada pentadbirannya atau DAP keluar dari pentadbiran Selangor merupakan satu bukti bahawa DAP ingin menjadi ‘ketua’ di dalam blok pembangkang.

Ia juga bakal memberikan satu petunjuk sikap dan gaya kepimpinan yang akan dibawa oleh DAP sekiranya mereka diberikan mandat yang besar oleh pengundi di dalam pilihan raya umum yang akan datang.

DAP seharusnya menyedari bahawa mereka menguasai Pulau Pinang baru dua penggal iaitu bermula pada tahun 2008 dan tidak akan berjaya membentuk kerajaan negeri tanpa penyertaan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hal ini kerana kerusi yang dimiliki oleh DAP hanyalah berjumlah 19 kerusi DUN berbanding 21 kerusi minimum yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Tanpa penyertaan PKR di dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri, DAP bakal kehilangan teraju pentadbiran Pulau Pinang. Namun sayangnya dalam situasi kebergantungan DAP dengan PKR sedemikian rupa pun, DAP masih bertindak seperti Mr Arrogant membuat arahan dan ugutan kepada Menteri Besar Selangor.

Di pihak PAS, kita telah merasai perit pedihnya bermuamalat dengan DAP. Ia bukannya bermaksud pintu rundingan dan persefahaman bakal tertutup selama-lamanya kerana politik ialah seni serba mungkin.

Namun, buat masa sekarang DAP lebih kelihatan sebagai sebuah parti yang degil dan keras kepala. Apa susahnya untuk membiarkan sahaja kerajaan negeri berfungsi sebagaimana mandat yang diberikan oleh rakyat di dalam pilihan raya umum yang lepas?

Apa perlunya tergesa-gesa mengusir PAS daripada kerajaan Selangor yang mana perlantikan barisan exconya telab diperkenan oleh KDYMM Sultan Selangor? Atau DAP terlampau bimbang sekiranya agenda Islamisasi dibawa oleh PAS berjaya menambat hati pengundi dan menyaingi mereka di dalam pilihan raya umum yang akan datang?

Kita yakin, teman-teman di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan berdiam diri. Adalah mustahil membiarkan seorang Menteri Besar merangkap Timbalan Presiden parti diserang dengan ugutan sedemikian rupa tanpa sebarang kenyataan balas daripada pendokong parti. – HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace