Kematian Azlan, Suaram gesa siasatan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini menggesa agar Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tindakan tegas atas kematian tahanan Syed Mohamed Azlan Syed Mohamed Nur pada 3 November tahun lepas.

Penyelaras Projek Suaram, Tarmizi Anuwar ketika menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkata, kematian dalam tahanan merupakan satu perkara yang serius.

"Kami berharap tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum ini mendapat perhatian serius oleh KPN.

"Salah laku polis terhadap tahanan sehingga mengakibatkan kematian merupakan perkara yang serius kerana polis merupakan sebuah institusi yang mempunyai kuasa besar dalam menangkap dan menangani jenayah di negara ini," katanya pada sidang media di Bukit Aman.

Menurut beliau, adalah membimbangkan dan tidak berintergriti apabila pihak polis sendiri melakukan keganasan dan salah laku dengan memukul sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan berlakunya kematian.

"Kenyataan Ketua Polis Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan bercanggah dengan laporan Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mana Hasnan berkata kematian Azlan adalah secara mengejut akibat sesak nafas.

"Sedangkan EAIC menyatakan Azlan secara jelas ditumbuk, disepak dan diterajang di badan serta terdapat 61 kesan kecederaan termasuk luka, lebam dan calar pada tubuh mangsa termasuk muka, badan dan kedua-dua belah kaki," katanya lagi.

Tambah beliau, tindakan kenyataan bercanggah ini menunjukkan pihak polis seolah-olah cuba untuk menutup kesalahan yang telah dilakukan.

Azlan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan  ke Klinik Kesihatan Bandar Penawar, beliau ketika itu sedang dibawa dari Balai Polis Sungai Rengit ke IPD Kota Tinggi, anggota polis yang mengiringinya mendapati Azlan berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya serta tidak memberi sebarang tindak balas apabila dipanggil.

Memorandum tersebut telah diterima Deputi Superintendan Suniljit Singh di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi mewakili KPN.

Antara tuntutan Suaram adalah
1. Membawa anggota polis yang terlibat dalam kematian Syed Mohamed Azlan ke muka pengadilan dalam tempoh satu bulan.

2. Datuk Hasnan Hassan (Ketua Siasatan Jenayah Johor) digantung dan disiasat ke muka pengadilan kerana cubaan melakukan dan memalsukan maklumat sebenar kematian Syed Mohamed Azlan dengan mengatakan si mati mati secara mengejut.

3. Mestilah bertanggungjawab penuh terhadap kejadian dan kematian si mati.

4. Melaksanakan saranan EAIC iaitu sekiranya berlaku kecederaan fizikal pada suspek semasa penangkapan, maka suspek perlulah dirujuk atau dihantar ke Pegawai Perubatan Kerajaan bagi memastikan tahap keseriusan kecederaan serta status kesihatan suspek tersebut.

5. Dan melekatkan beban bukti ke atas pihak yang mempunyai jagaan dan kawalan ke atas orang tahanan sebagai bertanggungjawab ke atas kecederaan atau kematian orang tahanan sehingga dibuktikan sebaliknya.

6. Menubuh Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang fokus memantau perjalanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). – HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace