DAP perlu kemuka pendirian mengenai Kerajaan Selangor

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menyokong kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang menegaskan bahawa PAS Selangor tidak akan tunduk kepada desakan Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong yang mahu Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali segera memecat wakil PAS dalam pentadbiran negeri.

PAS mahu DAP memberikan penjelasan kepada rakyat tentang pendirian mereka terhadap kerajaan Negeri Selangor yang diterajui oleh Mohamed Azmin Ali.

Adakah mereka ingin menghancurkan kerajaan sedia ada dan memberikan laluan mudah untuk BN kembali berkuasa demi melunaskan dendam mereka kepada PAS atau mahu pertahankannya?

PAS kekal dengan pendirian sedia ada untuk terus mempertahankan Kerajaan Selangor sehinggalah pilihan raya akan datang demi kepentingan rakyat.

PAS tidak akan tunduk dengan sebarang tekanan dan permintaan untuk keluar dari Kerajaan Selangor dan akan terus menyokong kepimpinan Menteri Besar sekarang.

PAS menggesa agar Selangor tidak dikorbankan demi memenuhi hasrat pemimpin tertentu yang gagal melihat kepentingan rakyat berbanding dengan kepentingan politik mereka.

PAS terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja secara matang termasuk PKR atau DAP mengenai masa depan Selangor.

Walau bagaimanapun, ianya terpulang kepada pendirian parti masing-masing untuk menghormati prinsip dan perjuangan yang lain.

PAS percaya lebih ramai ahli DAP yang tidak bersetuju dengan pandangan itu, walaupun PAS dan DAP kini sudah tidak sehaluan.

Dalam kebanyakan perkara, PAS melihat rakyat sudah bosan dengan percaturan untuk meruntuhkan Kerajaan Selangor.

Dan adalah lebih baik DAP melihat ke hadapan untuk memastikan segala janji kepada rakyat ditunaikan sebelum pilihan raya akan datang.

PAS tidak risau jika pada pilihan raya akan datang DAP akan bertanding 3 penjuru di kerusi-kerusi peringkat Dun dan Parlimen.

Tapi buat masa ini, tiada apa-apa yang perlu diubah dan dimusnahkan kerana itu hanya memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional. - HARAKAHDAILY 4/11/2015

Penulis ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace