Menasihat kerajaan jiwa seorang negarawan

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

Hari ini TGHH menerima kunjungan Ketua Polis Negeri Terengganu, Timbalan Ketua Polis Negeri, OCPD Marang serta rombongannya di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS), Rusila, Marang.

APABILA Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) kata perjuangan kita untuk betulkan kerajaan, bukan perjuangan kejar kuasa semata-mata, ramai melenting dan ramai yang memperlekeh. Suara-suara fitnah PAS mahu UG dengan Umno semakin rancak ke udara. Desakan PAS tidak perlu lagi bertanding PRU juga kedengaran.

Sebagai politikus, tentunya nada TGHH itu tidak digemari mereka. Tetapi sekiranya kita memahami dengan hati yang lapang dan minda yang terbuka jauh daripada perspektif sempit politik, segala latahan tersebut akan bertukar ketenangan. TGHH menggambarkan sikap seorang negarawan yang sebenar.

Jiwa seorang negarawan amat berbeza dengan minda seorang politikus. Pemikir dan penulis barat kurun ke 19, James Freeman Clarke pernah menyatakan:

"The difference between a politician and a statesman is that a politician thinks about the next election while the statesman think about the next generation."

(Beza antara politikus dan negarawan ialah; politikus sentiasa memikirkan tentang pilihanraya akan datang. Negarawan pula sentiasa memikirkan tentang generasi akan datang)

Inilah hakikatnya! TGHH berfikir dalam kerangka seorang penyelamat negara. Politikus pula hanya fikir nasib mereka menjelang PRU14. Tentunya ia akan bertembung sama sekali. Membetulkan kepincangan negara masa ini boleh menyebabkan pemerintahan negara jadi stabil, dan rakyat mungkin akan merasakan tiada keperluan menukar pemerintah jika negara pulih. Sebaliknya membiarkan negara terus rosak, adalah peluang untuk mengutip seberapa banyak isu untuk dijadikan bahan kempen dan syarahan.

Hakikatnya, pilihan raya hanya 5 tahun sekali. Tetapi bebanan rakyat bertimpa-timpa setiap hari. Mungkin benar kerajaan mudah jatuh kalau keburukan mereka hari ini berlanjutan hingga ke PRU14, tetapi siapa yang perlu tanggung sisa najis dalam kerajaan lepas PRU14 kalau ia tidak dibersihkan sekarang?

Mengambil pemerintahan dalam keadaan yang tenat bukan sesuatu yang mudah. Kita mesti ingat kuasa-kuasa dunia juga sentiasa mengintai-intai peluang menkucar-kacirkan negara ini. Sekiranya kita membiarkan kerajaan hari ini runtuh dengan niat supaya dapat mengambil kuasa dari mereka, pasti banyak tangan-tangan tak bertanggungjawab mengambil peluang campurtangan dalam ketidakstabilan negara.

Bukan kita tidak mahu menang dalam PRU, tetapi usaha kita membetulkan negara tidak hanya terfokus kepada PRU sahaja. Menuju pilihan raya akan datang, kerosakan negara perlu dikekang seberapa boleh agar mudah apabila tiba masa mengambil alih.

Analogi yang cukup mudah; katakanlah kita bakal mewarisi sebuah kereta dari bapa yang sudah tua. Adakah kerana kita mahu mewarisinya cepat, kita biarkan bapa tua pandu kereta itu semberono, bertujuan supaya dia kemalangan dan terus mati? Pastinya tidak kerana kita akan terpaksa menanggung kos baikpulih kereta yang tinggi, itupun jika tidak total lost.

Sebuah lagi analogi. Katakan kita bercadang mengambil alih sebuah syarikat daripada seorang CEO kerana mutu pentadbirannya yang lemah. Adakah kita sanggup untuk biarkan sahaja dia terus mentadbir sehingga bangkrap, bertujuan untuk membuktikan kepada pemegang syer bahawa CEO ini benar-benar gagal? Orang gila sahaja yang sanggup bangkrupkan syarikat semata-mata mahu ambil alih!

Contoh yang kita boleh ambil, adalah isu TPPA yang dikatakan bakal dibentang dalam parlimen sebelum diluluskan. Dengan BN masih memiliki majoriti di parlimen, tentunya tidak sukar bagi mereka untuk merealisasikannya. Tetapi sehingga sekarang, kerajaan masih berkira-kira untuk untuk membentangkannya. Ini menunjukkan BN masih bermasalah dalam memungut persetujuan dari orang kerajaan sendiri.

Perkara ini perlu diurus. Semua kenal perangai orang BN. Walaupun pada dasarnya ada MP yang mungkin tidak bersetuju sekarang, tetapi pendirian mereka mudah dibeli dengan sedikit wang saguhati.

Sekiranya tiada pihak memainkan peranan berunding sama ada dengan politikus kerajaan atau pegawai besar kerajaan dalam menangani masalah ekonomi negara, lambat laun TPPA akan diterima juga.

Seandainya TPPA termeterai sekarang dengan segala tanda tanya mengenai terma-terma perjanjian, kesannya bukan sahaja ditanggung kerajaan sekarang, tetapi kerajaan lepas PRU14 juga terpaksa memikul perjanjian ini. Bukan mudah membatalkan TPPA selepas termeterai kerana ia melibatkan kepentingan negara lain. Segala gantirugi yang dipersetujui oleh kerajaan sekarang perlu ditanggung kerajaan akan datang sekiranya mahu membatalkan TPPA.

Dengan keadaan pemerintah sekarang yang cukup tenat dari segi sokongan rakyat, kedudukan kita ibarat telah sampai ke perkarangan Putrajaya. Menunggu masa sahaja untuk melangkah masuk ke dalam. Justeru kita sudah tidak boleh lagi memecut seperti masih berada di Lebuhraya dahulu. Sudah sampai peringkat kita matikan enjin, dan melangkah kaki dengan tenang sambil menyapa mesra pegawai yang ada.

Kalau kita terus memecut sama seperti di Lebuhraya, alamatnya kita akan melanggar pejalan-pejalan kaki di perkarangan Putrajaya, melanggar Bangunan Wisma Persekutuan, malah kenderaan kita juga akan binasa.

Selaju mana bahtera belayar sekalipun, apabila hampir dengan pelabuhan pasti dia akan perlahan dan mengubah posisi. Sepantas manapun pesawat terbang, pasti ia akan perlahan dan berhati-hati mengambil sudut untuk mendarat.

Apapun, kenyataan TGHH menunjukkan pandangan beliau tidak dibatasi dinding pilihan raya 14 sahaja malah melangkau jauh memikirkan nasib negara puluhan tahun akan datang. Jiwa TGHH tidak hanya merisaukan nasib kehidupan beliau sekarang sahaja, tetapi demi masa depan anak bangsa generasi akan datang.

TGHH juga seorang pakar politik antarabangsa. Beliau tahu segala pro dan kontra ketidakseimbangan politik negara di mata dunia. Beliau bukan sahaja menasihat kerajaan Malaysia, malah beliau turut diusung ke segenap pelusuk dunia yang menagihkan khidmat nasihat dan rundingan beliau.

Hidupnya telah diabadikan untuk membantu umat sedunia, bukan sekadar memikirkan bagaimana nak merampas kuasa di sini sahaja.

Tidak keterlaluan jika saya menyatakan TGHH bukan sekadar ahli politik, bukan juga seorang negarawan. Tetapi beliau adalah antarabangsawan! – HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace