MP Baling tersasul sebut 'Pekan pondan'

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim tersasul menyebut 'Pekan pondan' berkali-kali ketika mengemukakan penjelasan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ketika memberi penjelasan berhubung perbahasannya semalam Azeez pada awalnya mahu merujuk kepada Batu Kawan Pondan sebaliknya telah tersasul menyebut 'Pekan pondan'.

Tindakannya itu menyebabkan Ahli Parlimen Pembangkang menyedari perkataan tersebut dikeluarkan oleh Azeez sekali gus membuatkan dewan menjadi gamat.

Terdahulu Azeez telah mengeluarkan perkataan seksis seperti 'balik tongsan'dan 'apek' yang ditujukan kepada ahli parlimen dari kalangan DAP.

Ekoran itu beberapa Ahli Parlimen bangun melahirkan rasa tidak berpuas hati antaranya Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto, Ahli Parlimen Batu Tian Chua  dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Wong Sze Phin.

Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook bangun mengemukakan peraturan mesyuarat yang melarang Ahli Parlimen mengeluarkan perkataan seksis.

"Bagi orang Tiong Hwa perkataan balik tongsan sangat sensitif.

"Perkataan seksis ini dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Tabung Haji?" tegas Siew Fook berulang kali.

Justeru Pandikar Amin meminta Azeez menarik balik perkataan tersebut selain meminta barisan Ahli Parlimen pembangkang juga berjanji tidak akan mengeluarkan perkataan seksis di dalam perbahasan selepas ini.

"Pihak di sebelah sini (pembangkang) jangan mengeluarkan perkataan seperti itu. Apabila saya menggunakan Peraturan Mesyuarat ia dilarang sama sekali. Jika berulang saya tidak teragak-agak menggunakan kuasa saya. Faham semua?" tegas Pandikar.

"Faham...," sambut Ahli Parlimen pembangkang. – HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace