Kongres Rakyat serah memo bantah TPPA

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kongres Rakyat bersama lebih 100 NGO hari ini menyerahkan memorandum membantah Perjanjian Trans Pasifik (TPPA) kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pengerusi Kongres Rakyat Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perjanjian TPPA telah mencetuskan kontroversi dalam beberapa aspek termasuk penguasaan ekonomi dan kedaulatan negara malah berkaitan juga dengan pencerobohan terhadap undang-undang dan dasar negara.

Bukan itu sahaja katanya, isu harta intelek yang semakin hebat diperdebatkan oleh pelbagai pihak terutama di kalangan mahasiswa dan tenaga akademik.

"Kesukaran mendapat akses kepada bahan kajian ilmiah dalam bidang pendidikan akan membebankan mereka bagi menjalankan penyelidikan," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Justeru, Kongres Rakyat menggesa kerajaan tidak mengambil keputusan menandatangani TPPA.

Bahkan Azmi turut berharap agar 222 Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat turut menolak perjanjian ini.

"Mereka harus menolak TPPA di dalam, mereka jangan hanya menjaga kepentingan peribadi, mereka harus membawa suara rakyat di parlimen dan menjaga kepentingan rakyat," tegas beliau.

Memorandum tersebut tidak dapat diserahkan kepada menteri berkenaan sebaliknya kepada pegawai khas menteri, Mohd Ali.

Rundingan mengenai kandungan TPPA telah dimuktamadkan pada 5 Ogos 2015 di antara wakil-wakil kerajaan melibatkan Malaysia dan 11 negara anggota yang lain di Atlanta Amerika Syarikat.

Mengikut 'time plan' yang dibentangkan oleh kementerian, proses perdebatan Parlimen dan kabinet membuat keputusan akan berlangsung pada Januari 2016.

Turut bersama dalam penyerahan memorandum itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad, Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan, Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dan beberapa AJK Kongres Rakyat. – HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace