Dun Kelantan: Jawab isu KPK walau Husam tidak hadir

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) Sdn Bhd menjelaskan biarpun kerajaan negeri meluluskan kawasan pembalakan kepada syarikat itu, namun had tebangan yang dibenarkan hanya 1,800 ekar setahun.

Anggota pengarahnya, Zulkifli Mamat berkata selain itu sebahagian tanah yang diberi KPK sebelum ini diambil semula kerajaan untuk diagih kepada agensi lain.

Katanya berdasar keluasan kawasan itu hasil pembalakan KPK sekitar RM3 juta setahun dengan harga setiap ekar sebanyak RM1,600.

“Pembalakan dijalankan pula di kawasan yang sudah dikerjakan. Catuan tebangan tahunan dibuat kerajaan bagi memastikan kawasan tersebut boleh diguna pakai semula selepas 25 hingga 30 tahun.

“Ini suatu usaha yang cukup baik. Dan sekarang sebahagian besar kawasan KPK telah masuk tebangan kedua dan bukan lagi hutan dara,” katanya pada persidangan Dun Kelantan.

Sebelum ini Adun Salor Datuk Husam Musa melalui surat terbuka di media baru mendakwa bagi tempoh 10 tahun KPK sepatutnya mendapat keuntungan RM80 hingga RM120 juta berdasar keluasan pembalakan 20,000 ekar.

Beliau juga mendakwa kawasan pembalakan KPK hanya terdapat kayu balak kurang 3 tan setiap ekar.

“Sedangkan apa yang sebenar berlaku setiap ekar KPK mengeluarkan balak kira-kira 8 tan,” kata Zulkifli ketika menjawab isu berkenaan tanpa kehadiran Adun Salor petang semalam.

Beliau yang juga Adun Pulai Chondong berkata disebabkan hasil pembalakan semakin kurang kerajaan negeri baru-baru ini meluluskan seluas 20,000 ekar untuk dibangunkan ladang hutan bagi menjaga kelestarian alam.

Katanya KPK diberi tanggungjawab melaksanakan sendiri atau mengadakan usaha sama dengan mana-mana syarikat bagi membangunkan ladang hutan.

“KPK memilih untuk menanam getah jenis klon. Melalui mesyuarat Lembaga Pengarah KPK yang turut disertai Pengarah Perhutanan Negeri dipastikan harga ditawarkan tidak jauh berbeza dengan harga semasa.

“Harga yang ditawarkan dengan memasuk jumlah premium yang tidak dibayar ada syarikat menawar RM2,386 seekar. Ada juga RM2,286 seekar dan syarikat lain pula RM2,856.

“Misalnya kita ambil RM2,386 dicampurkan premium sebanyak RM1,214 setiap ekar menjadikan jumlahnya RM3,600,” katanya.

Jumlah itu tidak termasuk tribute sebanyak RM60 satu tan sebagai syarat lesen.

Kata beliau harga itu tidak rendah sebagaimana digambarkan pihak tertentu sebelum ini.

Mengenai dakwaan kesemua pekerja KPK diberhentikan Zulkifli berkata, mereka diberi peluang membuat pilihan berhenti secara sukarela dengan mendapat ganjaran setimpal.

“Kita ambil dua langkah sama ada pekerja hendak berhenti atau kekal. Ekoran itu 60 pekerja memilih berhenti secara sukarela.

“Mereka mendapat ganjaran daripada RM60,000 sehingga RM200,000 seorang. Ia boleh digunakan bagi menjalankan perniagaan sendiri. Cuma yang mahu bekerja seramai 6 orang,” katanya. - HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace