Bantuan banjir diserap unsur politik – Exco

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biarpun pembangkang bercakap ketika bah besar melanda akhir tahun lepas semua pemimpin boleh bekerjasama membantu rakyat, namun selepas banjir lain pula jadinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kelantan, Mumtaz Md Nawi berkata selepas bah berlalu elemen politik mulai muncul ketika mengagih bantuan banjir.

“Tidak patut berlaku untuk kita cuba politik bantuan kerajaan kepada rakyat rakyat. Ada pihak menggunakan politik bagi menyekat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat di sesetengah tempat.

“Masa banjir tidak timbul isu politik, namun selepas bah masa hendak agih bantuan banjir muncul pula elemen politik,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet Kelantan 2016 pada persidangan Dun hari ini.

Beliau juga memberitahu kerajaan negeri menyediakan sebanyak 773 pusat pemindahan banjir bagi menghadapi kemungkinan bah akhir tahun ini.

Selain itu turut disediakan 218 pangkalan hadapan bagi menghantar bantuan kepada pusat-pusat pemindahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serata Datuk Nassuruddin Daud berkata tahalus siyasi PAS bersama DAP sebelum ini dilakukan dengan bersyarat.

Katanya ketika itu DAP tidak boleh menentang usaha kerajaan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah memandangkan ia sudah dilakukan sejak 1993.

“Pada masa itu DAP tidak menentang apa yang PAS perjuangkan. Malah perakuan mengenainya ditandatangani pada konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan sebelum ini.

“Semua Presiden parti Pakatan menandatangani konvensyen tersebut. Bagaimanapun sekarang mereka bangkit menentang perjuangan PAS,” katanya. - HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace