Skim Ceria: Selangor belanja RM36.05 juta

JUHANI RAHMAN | .

SHAH ALAM: Kerja-kerja membaikpulih dua jenis projek rumah yang terbengkalai di Taman Alam Perdana, Ijok selesai disiapkan dengan menerima sijil layak menduduki (CF).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pembeli juga diminta untuk menandatangani Perjanjian Jualbeli yang baharu dengan pemilik tanah, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).

Dua jenis rumah yang terbengkalai berkenaan adalah 2,500 pangsapuri kos rendah dan 1,116 rumah teres setingkat dan dua tingkat kos sederhana yang masing-masing mendapat  CF pada 27 Disember 2012 dan 1 Oktober 2013.

"Kerajaan negeri tidak pernah mengenakan apa-apa bayaran kepada pemilik rumah di Taman Alam Perdana.

"(Sebaliknya) mereka hanya perlu menanggung yuran guaman bagi penyediaan Perjanjian Jualbeli yang baru," katanya menjawab soalan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Dalam soalan, Dr Idris meminta penjelasan mengenai status projek perumahan yang terbengkalai serta meminta jalan penyelesaian.

Dalam pada itu, Iskandar yang juga Adun Chempaka turut membentangkan kos keseluruhan yang ditanggung kerajaan negeri adalah sebanyak RM37.61 juta.

Sementara itu, katanya sejak 2013, kerajaan negeri telah membelanjakan RM36.05 juta untuk membantu penduduk pangsapuri kos rendah dan kos sederhana rendah baik pulih pembangunan mereka di bawah skim Ceria yang melibatkan 144 kawasan pangsapuri. - HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace