Baiki sekolah rosak punca kos Yik meningkat

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjelaskan peningkatan kos mengurus Yayasan Islam Kelantan (Yik) disebabkan kerja-kerja membaiki sekolah agama yang rosak akibat bah besar akhir tahun lepas.

Sebanyak 21 sekolah agama di bawah Yik rosak akibat bah yang membabitkan kos baik pulih sebanyak RM2.3 juta.

Sekolah terbabit iaitu di Kota Bharu tiga, Pasir Mas (7), Tumpat (3), Tanah Merah (4), Kuala Krai (3) dan Gua Musang sebuah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata Yik juga membelanjakan sebanyak RM4 juta bagi membeli hartanah di Tunjung untuk dibangunkan pejabat.

Katanya, peningkatan kos mengurus tersebut menyebabkan berlaku tunggakan bayaran pinjaman kakitangan Yik sehingga mencecah RM12.6 juta.

“Yik sudah membayar sebanyak RM2 juta sebelum ini. Bayaran tunggakan itu sedang dalam proses penyelesaian.

“Yik bukan tidak bayar tunggakan tetapi pembayaran belum selesai sepenuhnya lagi,” katanya ketika menggulung perbahasan bajet Kelantan 2016 pada persidangan Dun hari ini.

Tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM72 juta kepada Yik bagi pengurusan dan pembangunan, namun kos keseluruhan meningkat sehingga RM83.9 juta.

Bagaimanapun bagi belanjawan tahun hadapan kerajaan negeri mempertingkatkan peruntukan pembangunan insan sehingga RM90 juta.

Beliau juga memberitahu Yayasan Kelantan Darulnaim akan mengadakan kerjasama dengan Kolej Universiti Tun Hussien Onn bagi menaja pelajar yang sedang menunggu peperiksaan SPM mengikuti kursus subjek sains dan matematik di universiti berkenaan.

“Seramai 100 pelajar yang mendapat keputusan sederhana peperiksaan percubaan SPM akan ditawarkan bagi mengikuti kursus tersebut.

“Pelajar yang berjaya pada kursus tersebut akan ditawarkan mengikuti pengajian di universiti terbabit,” katanya. - HARAKAHDAILY 4/11/2015  

Share on Myspace