43 tahun daripada usia PAS mampu tadbir Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS Kelantan mencatat rekod tersendiri apabila 43 tahun daripada 60 tahun usia penubuhannya di negeri ini mampu mentadbir sebuah kerajaan negeri.

Pada fasa pertama PAS mentadbir Kelantan pada 1959 sehingga 1978 dan disambung pula fasa kedua sejak 1990 sehingga sekarang.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata PAS berupaya mentadbir Kelantan dalam tempoh begitu lama.

“Ini merupakan satu pencapaian yang sepatutnya diraikan penyokong PAS dan rakyat Kelantan. PAS bertapak di negeri ini pada 1955 dan sekarang genap 60 tahun.

“Oleh itu kita merancang merayakan ulangtahun tersebut pada 20 November ini dengan pelbagai program menarik bermula pagi sehingga tengah malam,” katanya di sini.

Program tersebut akan diadakan di Medan Ilmu dan perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di Jalan Datuk Pati.

Program bermula jam 8.30 pagi dengan perasmian, diikuti kuliah pagi Jumaat Perdana. Turut diadakan pertandingan aulad, himpunan muslimmat, jamuan rakyat, pertandingan pidato dan syarahan istiqamah, himpunan anak muda, persembahan kebudayaan, himpunan ulama.

Selain itu solat hajat, forum pengisahan suka duka PAS Kelantan, ceramah perdana dan anugerah Tokoh Istiqamah PAS Kelantan.

Program lain pameran agensi-agensi kerajaan dan ekspo jualan. Jalan Datuk Pati ditutup sepenuhnya sepanjang sambutan tersebut.

Oleh itu Che Abdullah yang juga anggota Exco kerajaan negeri berharap rakyat Kelantan tanpa mengira kaum dan agama turut meraikan sambutan tersebut. - HARAKAHDAILY 4/11/2015

Share on Myspace