TPPA: Kerajaan berhasrat adakan pungutan suara?

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan meminta kerajaan mengadakan pungutan suara rakyat untuk melihat sokongan terhadap pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"Adakah kerajaan berhasrat untuk mengadakan pungutan suara rakyat bagi mengetahui sama ada TPPA ini perlu ditandatangani atau tidak?

"Selain itu juga menteri mengatakan TPPA akan dibawa pada persidangan parlimen, adakah ia sekadar untuk perbahasa semata-mata," soal beliau ketika sesi penggulungan Bajet 2016 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut mempersoalkan TPPA sedangkan Malaysia sudah pun menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Mustapa ketika menjawab pertanyaan itu berkata kerajaan tidak memerlukan pungutan suara rakyat untuk membuat keputusan, hanya perlu keputusan di parlimen sahaja.

Katanya,  walaupun perjanjian antarabangsa tidak perlu dibentankan atau dibahaskan di parlimen dan hanya memerlukan kepeutusan di peringkat eksekutif, namun kerajaan tetap membentangkannya di parlimen pada Januari atau awal Februari tahun depan. - HARAKAHDAILY 5/11/2015

Share on Myspace