Adakah Proton ditutup selepas TPPA?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kereta nasional keluaran Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) mungkin akan menghadapi cabaran lebih besar selepas kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad berkata selepas berlaku perjanjian itu banyak kereta keluaran luar negara akan memasuki negara sekali gus akan menggugat pasaran kereta Proton di dalam negara.

"Apa yang dijangka kerajaan mungkin Proton akan ditutup kerana tidak mampu bersaing dengan pengeluaran kereta yang masuk ke negara selepas TPPA," soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika mencelah semasa sesi penggulungan Bajet 2016 oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, di Dewan Rakyat hari ini.

Naib Presiden PAS itu turut membangkitkan sama ada kerajaan telah mengadakan perbincangan bersama pekerja tempatan berkenaan perlindungan mereka sebelum menandatangani TPPA.

"Apa jaminan kerajaan kepada pekerja tempatan selepas perjanjian itu dibuat," tanya beliau.

Bagaimanapun, menurut Mustapa selepas perjanjian itu dimeterai kereta luar negara tidak akan dikenakan duti import bagitu juga dengan kereta Proton yang memasuki negara TPPA.

Beliau tidak menafikan Proton dan syarikat-syarikat lain mungkin akan menghadapi tekanan selepas ini.

"Tetapi dasar kita adalah untuk mengimbangi kepentingan negara dan pengguna.

"Kita yakin Proton akan terus beroperasi. Proton hebat banyak perbezaan lagipun Proton selalu mengadakan perbincangan dengan kerajaan," katanya. - HARAKAHDAILY 5/11/2015

Share on Myspace